KUANTAN – Kerajaan Pahang memilih untuk menguruskan sendiri proses berkaitan penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) tanpa mengadakan siasatan awam memandangkan urusan tanah merupakan perkara di bawah bidang kuasa penuh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri mempunyai syarat kawalan tertentu dalam mengendalikan urusan berkenaan dan pelaksanaan sedia ada berjalan dengan baik.
“Tanah dan hutan ini sebagai state matter jadi eloklah kerajaan negeri menguruskannya.
“Lagipun kita ada syarat-syarat tertentu dan setakat ini berjalan dengan baik,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang menyifatkan keputusan kerajaan negeri itu sebagai membimbangkan serta satu kemunduran dalam tadbir urus alam sekitar.
Wan Rosdy ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Pahang dilaporkan menjadi negeri keempat tidak menerima pakai dua perlindungan utama di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, iaitu kewajipan mengadakan siasatan awam dan menyediakan tanah ganti sebelum sesuatu kawasan HSK dikeluarkan.
Mengulas keputusan Pahang yang tidak melaksanakan siasatan awam bagi proses penyahwartaan HSK, Wan Rosdy berkata, pendekatan itu tidak semestinya perlu mengikut langkah yang diambil negeri lain.
“Bukan Pahang sahaja, negeri lain pun ada. iTdak silap saya, empat negeri lain telah pun membuat keputusan yang sama.
"Pahang tidak mengikuti mereka sebenarnya,” jelas beliau lagi.
Wan Rosdy menambah, kerajaan negeri turut mengambil kira kemungkinan berlaku kelewatan sekiranya proses berkenaan terlalu ketat dan menyusahkan.
"Kita lihat antaranya ia boleh menimbulkan masalah kelewatan proses dan mungkin pelabur akan lari kalau sekiranya terlampau rigid serta menyusahkan.
"Jadi kita ambil jalan mudah (memudah cara), tetapi kawalan dan syarat-syarat tertentu tetap ada," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, isu penipuan jual beli tanah di Bentong yang diiklankan menerusi platform dalam talian masih dalam siasatan.
“Kita mengesannya pada peringkat awal dan terus mengambil tindakan,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menasihatkan orang ramai supaya berurusan dengan agensi berkaitan sekiranya mahu membeli tanah atau mempunyai cadangan pembangunan.
“Perlu berurusan dengan Pejabat Tanah. Jangan berurusan dengan pihak ketiga,” katanya.