KOTA BHARU - Penyertaan lebih 1,000 peserta termasuk golongan muda dan pelajar pondok dalam kalangan Orang Asli menyemarakkan lagi Malaysia #QuranHour peringkat Kelantan yang berlangsung di Masjid Al-Munir, Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini pada Ahad.
Program berteraskan penghayatan al-Quran dan pemilihan dua surah iaitu Al-Muzzammil dan Al-Balad itu memberi peluang kepada semua golongan peringkat umur mengambil kesempatan cuti sekolah untuk mengikuti pengisian keagamaan.
Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh 1, Amani Raisha Mohd Riduan, 10, berkata, dia mengetahui mengenai program berkenaan selepas guru membuat pengumuman di sekolah.
Dia hadir bersama rakan-rakan dengan dihantar oleh ibunya bagi mengikuti aktiviti keagamaan yang disifatkannya menyeronokkan.
"Selain dapat jumpa kawan-kawan baharu, kami boleh belajar mengaji beramai-ramai serta ada banyak cenderamata disediakan," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Rakannya, Nurul Hanifah Khairah Mohd Azlan, 10, memberitahu, penyertaan dalam program itu menjadi pengisian bermanfaat sepanjang cuti sekolah.
"Saya datang bersama kawan-kawan dan kebetulan sekarang cuti sekolah.
"Saya seronok menyertai program seperti ini kerana dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti yang bermanfaat selain mengaji," katanya.
Tidak ketinggalan, pelajar Pondok Pengajian Islam Kok Lanas, Kumai Megat, 20, yang berasal dari Pos Pasik, Gua Musang, turut hadir bersama 14 lagi rakannya daripada komuniti Orang Asli.
Kumai yang sudah empat tahun menuntut ilmu di pondok memberitahu, penyertaan dalam program itu memberi peluang kepadanya untuk meluangkan masa dengan aktiviti berkaitan al-Quran selain mendengar forum.
"Saya seronok kerana dapat meluangkan masa mengaji, mendengar forum dan pada masa sama dapat mengenali ramai kenalan baharu di sini," katanya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan (PRNK), Datuk Adnan Hashim, sambutan terhadap Malaysia #QuranHour peringkat negeri ini amat menggalakkan dengan lebih 1,000 peserta dijemput untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Ujar beliau, kehadiran peserta pelbagai peringkat umur merupakan antara perkembangan positif yang dapat dilihat pada program kali ini, lebih-lebih lagi ia berlangsung ketika cuti sekolah.
Jelasnya, kejayaan penganjuran Malaysia #QuranHour di negeri ini turut didorong semangat ukhuwah dan gotong-royong masyarakat yang berganding bahu memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik.
Kata beliau, masyarakat setempat bukan sahaja menyumbang tenaga, malah memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing bagi menjayakan program tersebut.
"Ada yang menyumbang wang, tumbang lembu, ada yang membantu menyediakan makanan, minuman dan cenderamata.
"Inilah ukhuwah yang kita cuba bina dalam masyarakat di Mukim Badang dan alhamdulillah, kita dapat melihat sokongan masyarakat terhadap program ini sangat baik," katanya.
Adnan memberitahu, pendekatan berkenaan penting dalam usaha membina masyarakat yang bukan sahaja dekat dengan al-Quran, malah mempunyai nilai kebersamaan, saling membantu dan menyayangi antara satu sama lain.
"Kita bukan sekadar mahu mengadakan program, tetapi mahu membina ukhuwah dan masyarakat.
"Kita harap program ini memberi kesan dan insya-ALLAH pada masa akan datang kita berjaya menghasilkan rakyat yang berbudi dan penyayang," katanya.