SUBANG - Pengalaman pertama menaiki pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi perspektif lebih jelas kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali mengenai keupayaan sebenar aset berkenaan dalam memperkukuh pertahanan udara negara.
Lokman Hakim berkata, pengalaman itu pada masa sama membolehkannya melihat sendiri tahap kompetensi dan profesionalisme warga TUDM yang mengendalikan aset berkenaan.
Menurutnya, Su-30MKM bukan sekadar sebuah pesawat berkeupayaan tinggi, sebaliknya merupakan satu sistem tempur yang keberkesanannya bergantung kepada gabungan teknologi, kepakaran manusia dan keseluruhan sokongan operasi.
"Dari sudut strategik, saya melihat Su-30MKM masih memainkan peranan penting dalam keupayaan pertahanan udara TUDM, khususnya dalam melindungi ruang udara dan kepentingan maritim negara.
"Keupayaan ini juga menjadi sebahagian daripada elemen deterrence kita iaitu memastikan Malaysia mempunyai keupayaan yang diyakini untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara," katanya.
Beliau menaiki penerbangan pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Subang di sini, diiringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris pada Jumaat.
Lokman Hakim turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Muhamad Norazlan serta seluruh warga TUDM atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk merasai sendiri pengalaman menaiki Su-30MKM.
"Ini adalah satu pengalaman yang sangat bermakna kerana ia memberi peluang kepada saya melihat dengan lebih dekat bukan sahaja keupayaan pesawat ini, tetapi juga tahap kompetensi, disiplin dan profesionalisme warga TUDM yang mengoperasikannya," ujarnya.
Menurutnya, Su-30MKM merupakan sebahagian daripada pembangunan kuasa udara secara menyeluruh.
"Maksudnya, kita perlu memastikan keupayaan tempur, kesiagaan, sustainment dan perancangan penggantian aset bergerak secara seimbang dengan keperluan strategik negara," katanya.
Mengulas mengenai tahap kesiagaan aset pertahanan, beliau berkata, perkara itu merupakan satu keperluan strategik yang perlu diberikan perhatian berterusan.
"Kesiagaan bukan sekadar memastikan pesawat berada dalam keadaan baik, ia juga bergantung kepada keupayaan juruterbang untuk memahami dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang boleh dilakukan oleh pesawat tersebut.
"Sebab itu latihan berterusan sangat penting, semakin baik pemahaman dan kemahiran juruterbang, semakin tinggi nilai keupayaan yang boleh kita keluarkan daripada sesuatu platform," katanya.
Beliau berkata, TUDM turut mempunyai pengalaman melaksanakan latihan bersama pesawat generasi kelima, termasuk menerusi Eksesais Elangaroo 24 yang menyaksikan pesawat F-35A Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) menjalani latihan air combat bersama pesawat F/A-18D dan Su-30MKM TUDM.
Katanya, latihan seperti itu amat bernilai kerana memberi peluang kepada juruterbang memahami kekuatan serta keupayaan platform berbeza, selain meningkatkan tahap interoperability.
"Dalam keadaan sebenar, bukan teknologi semata-mata yang menentukan keberkesanan, kemahiran, pengalaman dan tactical judgement juruterbang juga memainkan peranan yang sangat besar," ujarnya.
Dalam pada itu, Lokman Hakim berkata, kekuatan Su-30MKM turut bergantung kepada pasukan anak tempatan yang bertanggungjawab memastikan pesawat sentiasa berada dalam keadaan siap untuk melaksanakan tugasan.
Katanya, TUDM mempunyai jurutera dan juruteknik berkemahiran dalam bidang mekanikal, elektrikal, struktur serta sistem yang menyokong pengoperasian pesawat berkenaan.
"Kepakaran ini, disokong oleh keupayaan MRO, alat ganti, persenjataan dan sokongan teknikal, merupakan sebahagian penting daripada kesiagaan aset kita.
"Jadi, bagi saya, kekuatan sebenar Su-30MKM bukan hanya pada pesawat itu sendiri. Kekuatan itu terletak pada gabungan platform, juruterbang, jurutera, juruteknik dan keseluruhan ekosistem sokongan yang kita bina," katanya.
Beliau menegaskan, keupayaan berkenaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap aset pertahanan yang dimiliki negara mampu memberikan nilai pertahanan maksimum dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan Malaysia.