KUALA LUMPUR - Program Malaysia #QuranHour wajar diadakan setiap bulan dan tidak hanya dilaksanakan sekali setahun bagi memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam mendalami kandungan serta panduan al-Quran.
Kuasa Usaha Kedutaan Republik Iraq, Dr Hudayfa Zead Mahmoud Salih berkata, penganjuran program seumpama itu amat penting kerana al-Quran bukan sahaja menjadi panduan dalam aspek ibadah, malah merangkumi pelbagai bidang kehidupan.
Iklan
Iklan
“Saya harap bukan setiap tahun. Saya harap setiap bulan seperti ini kerana al-Quran sangat besar dan ada banyak peraturan.
“Bukan hanya untuk ibadah atau berdoa. Al-Quran untuk segala-galanya, untuk kebijaksanaan, ekonomi dan kehidupan normal,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118 pada Ahad.
Beliau berkata, lebih banyak sesi dan program berkaitan al-Quran perlu diadakan bagi membolehkan masyarakat memperoleh lebih banyak ilmu serta memahami panduan yang terkandung dalam kitab suci itu.
Menurutnya, program seperti Malaysia #QuranHour juga menjadi platform penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap al-Quran dan menghayatinya dalam kehidupan seharian.
“Saya rasa kita perlukan banyak sesi seperti ini atau acara seperti ini untuk membolehkan orang mengetahui tentang al-Quran,” ujarnya lagi.