Felda dibina dengan muafakat, diperkasa dengan muafakat

Iklan
Felda hanya akan kembali kuat apabila ketiga-tiganya melihat satu sama lain sebagai rakan dalam amanah yang sama. Gambar kecil: Rauzan

 

PADA 31 Ogos 2026, seluruh negara sekali lagi meraikan Hari Kebangsaan dan mengenang perjuangan yang membawa negara kepada kemerdekaan.

Iklan
Iklan

Bagi warga Felda, ada satu lagi tarikh yang mempunyai makna besar iaitu 1 Julai 1956.

Lebih setahun sebelum laungan Merdeka bergema di Stadium Merdeka, Felda telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan masyarakat luar bandar, menyediakan tanah dan pekerjaan serta membebaskan rakyat daripada kemiskinan.

Iklan

Sebab itu, pada pandangan saya, Felda tidak pernah sekadar menjadi sebuah rancangan pembangunan tanah. Felda adalah sebahagian daripada usaha mengisi kemerdekaan negara dengan kemerdekaan ekonomi rakyat.

Prinsip yang sering dikaitkan dengan Allahyarham Tun Abdul Razak ketika membangunkan Felda sangat jelas: “Land for the landless, job for the jobless” – tanah untuk mereka yang tidak bertanah dan pekerjaan untuk mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Iklan

Generasi peneroka pertama pula tahu mengapa mereka mahu menyertai Felda.

Mereka mahukan tanah, pekerjaan, pendapatan dan kehidupan yang lebih baik. Lebih daripada itu, mereka mahu membina masa depan untuk anak-anak dan keluarga.

Sebab itulah mereka sanggup meninggalkan kampung halaman, membawa isteri dan anak-anak serta memulakan kehidupan di kawasan yang baru dibuka, jauh dari bandar dan dalam keadaan serba kekurangan.

Mereka tahu apa yang dicari. Mereka mencari masa depan.

Namun, kejayaan Felda tidak pernah dibina oleh peneroka seorang diri.

Kerajaan menyediakan dasar, tanah, infrastruktur dan kerangka pembangunan. Kakitangan Felda pula turun ke lapangan, mengurus rancangan, membimbing peneroka, mengurus pertanian dan pentadbiran serta hidup bersama masyarakat yang sedang dibentuk.

Peneroka memberikan tenaga, keringat dan keberanian untuk mengusahakan tanah serta membina komuniti.

Di situlah kekuatan Felda sebenarnya bermula – kerajaan, kakitangan Felda dan peneroka bergerak bersama dalam satu muafakat.

Daripada tanah lahir kehidupan. Daripada kehidupan lahir komuniti dan daripada komuniti lahir pula kekuatan ekonomi.

Rumah dibina, jalan dibuka, sekolah dan masjid didirikan, manakala kebun mula mengeluarkan hasil.

Kemudian berkembang pula kilang, pengangkutan, pemprosesan, pemasaran, koperasi dan pelbagai syarikat yang melengkapkan rantaian ekonomi Felda.

Peneroka akhirnya bukan lagi sekadar pengeluar sawit dan getah. Mereka menjadi sebahagian daripada sebuah sistem ekonomi yang dibina daripada hasil titik peluh mereka sendiri.

Menjelang 1990, lebih 112,000 peneroka telah ditempatkan di lebih 300 rancangan Felda di seluruh negara.

Itu bukan kejayaan seorang Perdana Menteri, bukan kejayaan seorang Pengarah Besar Felda dan bukan juga kejayaan seorang peneroka.

Itu kejayaan sebuah muafakat

Apabila kerajaan, kakitangan Felda dan peneroka bergerak dalam arah yang sama, Felda berkembang menjadi antara kisah pembangunan luar bandar paling penting dalam sejarah negara.

Namun, semakin besar Felda, semakin luas tanahnya, semakin bernilai asetnya dan semakin kukuh institusi ekonominya, semakin besar juga tarikan terhadap kepentingan politik.

Pada pandangan saya, muafakat yang membina Felda dahulu bukan hilang dengan sendiri. Muafakat itu mula terhakis apabila kepentingan politik mengatasi amanah asal kepada Felda dan peneroka.

Struktur korporat berubah, pemilikan berubah dan keputusan besar dibuat di peringkat atasan.

Felda kemudiannya berdepan pelaburan bermasalah, tekanan kewangan dan pelbagai persoalan tadbir urus.

Namun, kerosakan yang lebih sukar dipulihkan daripada kerugian wang ialah kerosakan terhadap kepercayaan.

Peneroka mula curiga terhadap pengurusan. Kakitangan pula berhadapan dengan prejudis daripada masyarakat yang mereka urus.

Kerajaan semakin sukar meyakinkan warga Felda bahawa setiap perubahan yang dibuat benar-benar untuk kepentingan mereka.

Akhirnya, tiga kelompok yang dahulu membina Felda bersama-sama berada dalam ekosistem yang sama tetapi semakin saling mencurigai.

Inilah antara kerosakan paling besar yang perlu dipulihkan.

Generasi peneroka dahulu dikenang kerana keberanian mereka meninggalkan kampung halaman, memasuki kawasan yang baru dibuka dan membina kehidupan baharu demi masa depan keluarga.

Generasi warga Felda hari ini juga memerlukan keberanian, tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Hari ini, keberanian bermaksud berani bertanya apabila ada perkara yang tidak betul, berani menuntut ketelusan apabila wang dan kepentingan peneroka dipertaruhkan serta berani menolak salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan penipuan daripada menjadi budaya dalam pengurusan.

Perkembangan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula meneliti maklumat berkaitan program pembangunan dan tanam semula sawit di Felda Palong 7 perlu dilihat dalam konteks ini.

Ia bukan alasan untuk menghukum sesiapa sebelum siasatan selesai.

Malah, SPRM sendiri menegaskan bahawa penerimaan maklumat tidak bermakna mana-mana pihak telah melakukan kesalahan.

Namun, warga Felda juga tidak seharusnya takut untuk bertanya apabila terdapat persoalan munasabah mengenai pengurusan tanah, ladang, wang dan masa depan mereka sendiri.

Generasi terdahulu berani membuka tanah. Generasi hari ini mesti berani membersihkan, memperbetulkan dan membina semula institusi.

Kerajaan hari ini telah mula mengambil beberapa langkah untuk memulihkan Felda.

Penguasaan semula FGV dan proses penyahsenaraian syarikat itu membuka ruang untuk Felda menyusun kembali struktur kumpulannya.

Dalam pertemuan dengan pengurus Felda pada 21 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui bahawa masalah besar yang diwarisi Felda bukan berpunca daripada pengurus di lapangan atau peneroka, sebaliknya daripada pengurusan dan keputusan di peringkat atasan.

Pengakuan itu penting

Namun, kerajaan juga perlu memahami bahawa pemulihan Felda bukan sekadar soal memperbaiki penyata kewangan, menyusun syarikat atau menukar struktur organisasi.

Kepercayaan juga mesti dibina semula.

Kerajaan hari ini tidak boleh mengharapkan kepercayaan itu kembali semata-mata kerana kerajaan telah berubah.

Kepercayaan hanya boleh dibina melalui tindakan – dengan mendengar apabila peneroka bersuara, melindungi kakitangan yang menjalankan amanah dengan jujur, mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa, membuka ruang kepada ketelusan dan membetulkan sistem yang telah lama membebankan.

Pada masa sama, ketiga-tiga pihak juga perlu membuang prejudis yang telah lama terbina.

Peneroka jangan melihat kakitangan sebagai musuh.

Kakitangan jangan melihat peneroka yang bertanya sebagai pengacau.

Kerajaan pula jangan melihat suara peneroka sebagai ancaman.

Felda hanya akan kembali kuat apabila ketiga-tiganya melihat satu sama lain sebagai rakan dalam amanah yang sama.

Kerajaan mungkin mempunyai rancangan untuk memulihkan Felda, tetapi rancangan itu tidak akan berjaya sekiranya kakitangan dan peneroka tidak berjalan bersama.

Felda tidak dibina oleh kerajaan seorang diri 70 tahun lalu. Maka, Felda juga tidak boleh dibina semula oleh kerajaan seorang diri hari ini.

Tujuh puluh tahun pertama Felda kini sudah menjadi sejarah.

Ada kejayaan luar biasa dan ada juga kesilapan serta kerosakan yang harus kita akui.

Tetapi sejarah bukan tempat untuk kita tinggal selama-lamanya.

Persoalan yang lebih penting ialah, apakah Felda yang mahu kita wariskan kepada anak cucu untuk 50 tahun berikutnya?

Orang tua kita dahulu datang ke Felda kerana mahu mencari masa depan.

Hari ini, kita sudah mempunyai tanah, institusi, syarikat dan pengalaman selama 70 tahun.

Yang kita perlukan sekarang ialah keberanian untuk membersihkan apa yang telah rosak, memperbetulkan apa yang telah tersasar dan menyatukan semula apa yang telah dipecahkan.

Mereka dahulu berjuang untuk masa depan anak-anak.

Sekarang giliran kita berjuang untuk masa depan anak cucu pula.

Sempena Hari Kebangsaan ini, mungkin inilah makna Merdeka yang perlu kita hidupkan kembali dalam Felda – merdeka daripada ketakutan untuk bersuara, merdeka daripada rasuah dan salah guna kuasa, merdeka daripada penipuan dan penyelewengan, merdeka daripada prejudis sesama kita dan merdeka daripada kepentingan politik yang memecahkan kita.

Felda dibina dengan muafakat. Felda berjaya kerana muafakat.

Dan jika Felda pernah dibina oleh keberanian serta muafakat sebuah generasi, kita juga mampu membina semula Felda dengan keberanian dan muafakat generasi kita.

Bina semula Felda, untuk 50 tahun yang berikutnya.

* Penulis ialah generasi kedua dan ketiga Felda Johor