Al-Quran penyelamat negara, pemimpin silih ganti tapi tanah air tetap sama

Iklan
Peserta Malaysia #QuranHour Melaka bergambar kenangan.

MELAKA - Al-Quran perlu dijadikan panduan dalam usaha mempertahankan kemerdekaan dan memastikan negara terus berada pada landasan yang benar, kata Panel Pentadabur MyQurantime, Dr Shafiq Sahimi.

Menurutnya, pemimpin boleh silih berganti mengikut tempoh pemerintahan, namun tanah air yang diwarisi daripada generasi terdahulu tetap sama dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

Iklan
Iklan

“Sebab pemimpin boleh bertukar. Lima tahun ini orang ini, lima tahun depan orang lain. Tetapi tanah, tanah yang sama. Tanah air, tanah air yang sama.

“Ini tanah kita, tanah nenek moyang kita yang dimerdekakan daripada penjajah. Pemimpin boleh berganti-ganti, tetapi tanah air tetap sama.

Iklan

“Kita kena cinta tanah air itu, berkorban untuk kemerdekaan serta mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan supaya anak dan cucu kita dapat menikmati tanah yang merdeka seperti yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Ikrar Quran 'Bingkas menuju Malaysia Sejahtera' dibacakan peserta Malaysia #QuranHour peringkat Melaka di Masjid Masjid As Syuja’ah pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sesi tadabbur di Masjid As Syuja’ah, Merlimau Utara sempena Malaysia #QuranHour peringkat Melaka pada Ahad.

Program menarik hampir 500 peserta bermula jam 9pagi membawakan tadabbur surah al-Muzzammil, sural al-Balas dan al-Baqarah bacaan dipimpin imam Muhammad Yusuf Ahyead.

Dalam pada itu, Shafiq berkata, sejarah Melaka turut membuktikan bahawa kekuatan iman dan al-Quran menjadi antara asas penting dalam perjuangan mempertahankan tanah air.

“Melaka ini tidak kurang hebat dengan sejarah Raja Ali Haji, Raja Haji Fisabilillah yang sangat terkenal dan hebat, menentang penjajah dengan kekuatan iman dan Al-Quran.

“Di tangan kanannya Dalail Khairat (petunjuk kebaikan), di tangan kirinya keris. Menunjukkan orang yang baca al-Quran dan beriman tidak akan pernah terpisah daripada tanah air untuk dia berjuang dan membela,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu kembali kepada al-Quran sebagai panduan dalam usaha menyelamatkan negeri dan negara.

Tambahnya, kemerdekaan tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut bebas daripada penjajahan fizikal, sebaliknya masyarakat juga perlu membebaskan minda daripada pengaruh yang boleh menjerumuskan kepada penghambaan terhadap kedudukan, jawatan, pujian dan pengikut.

“Negara telah merdeka, tetapi minda masih dijajah. Kita gagal mengawal hawa nafsu dan dunia, belum merdeka daripada menjadi hamba kepada kedudukan dan jawatan.

“Masih ramai manusia belum merdeka daripada menjadi hamba kepada pujian dan pengikut. Kita kena selamatkan mereka dan keluarkan mereka daripada penghambaan itu kepada menjadi hamba ALLAH SWT,” katanya.

Shafiq mengendalikan sesi tadabbur Malaysia #QuranHour peringkat Melaka pada Ahad.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Murad Ahmat yang juga urusetia program itu bagi negeri Melaka berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour yang berlangsung sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan amat bertepatan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan penghayatan berteraskan al-Quran.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi resolusi kepada masyarakat untuk membangunkan Malaysia yang sejahtera dengan memanfaatkan kemajuan teknologi tanpa mengetepikan panduan al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

“Teknologi itu adalah bonus kepada kita selagi mana kita berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi SAW untuk kita bangkit membina negara Malaysia serta memelihara keamanan dan apa yang telah kita kecapi sebelum ini supaya tidak disia-siakan kepada generasi akan datang.

"Program yang dibuat menghampiri bulan kemerdekaan ini sangat bertepatan kerana kita mahu menyambut kemerdekaan dengan penghayatan.

"Bukan kita sambut merdeka dalam keadaan terlalai dengan hawa nafsu, hiburan dan sebagainya. Tidak salah kita mahu menyambutnya, tetapi mestilah dikawal dengan ilmu dan pengetahuan," katanya.