SHAH ALAM - Festival MotorManiac 2026 kembali buat kali kelima dengan sasaran menarik kehadiran 40,000 peminat automotif dari seluruh negara.
Festival anjuran Bateriku.com itu berlangsung selama dua hari di Rooftop, MyTOWN, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, penganjuran MotorManiac 2026 mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh kedudukannya sebagai ekosistem gaya hidup automotif terkemuka di negara ini.
Menurutnya, festival kali ini bukan sahaja menampilkan pameran kereta berprestasi tinggi, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan muzik.
“Selain memperluaskan jenama sedia ada, kami mahu membentuk hubungan lebih erat dengan komuniti automotif.
“Hasrat utama kami adalah menggabungkan dunia automotif dengan gaya hidup urban yang semakin berkembang di Malaysia,” katanya ketika sidang akhbar MotorManiac 2026 di Taman TTDI Jaya di sini pada Sabtu.
MotorManiac 2026 dianjurkan dengan kerjasama Astra sebagai penaja utama serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Petronas Syntium, Lazada, GGR dan Red Bull.
Menurut Azarol, festival berkenaan turut menampilkan persembahan muzik anjuran Def Jam Southeast Asia yang membariskan artis seperti Joe Flizzow, SonaOne, Alyph, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J dan Yonnyboii.
“Pada edisi kali ini, kami juga akan mengumumkan penubuhan MotorManiac Drift Academy serta pasukan drift Astra yang menghimpunkan beberapa nama besar dalam sukan tersebut,” katanya.
Sementara itu, jurucakap penganjur, Wan Mikhail Faizi berkata, aplikasi MotorManiac turut akan dilancarkan sempena festival berkenaan bagi memenuhi keperluan komuniti automotif dalam era digital.
Katanya, platform digital sehenti itu menghubungkan penggemar kereta, jenama dan rakan antarabangsa menerusi pelbagai kemudahan termasuk pembelian tiket, cenderamata, komponen prestasi, penjualan jentera serta forum komuniti.
“Selain pelbagai aktiviti dan jualan cenderamata, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah Nissan Cefiro A31,” katanya.
Tiket MotorManiac 2026 dijual pada harga RM30 dan RM50 menerusi rakanbateriku.com, aplikasi Lazada atau secara pembelian terus di lokasi.