IPOH - Isu projek perumahan D’Aman Residence di Meru Raya yang sebelum ini berdepan masalah kelewatan sejak tujuh tahun lalu, kini berada dalam fasa penyerahan kunci.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, Sijil Perakuan Siap dan Mematuhi (CCC) telah diperoleh pada April lalu dan ketika ini proses penyerahan kunci kepada pembeli sedang giat dilaksanakan oleh pihak pemaju.
"Pembeli telah dihubungi bagi urusan serah kunci dan sebahagian daripada mereka yang telah melengkapkan bayaran serta syarat ditetapkan sudah menerima kunci masing-masing.
"Proses ini masih berjalan kerana setiap pembeli mempunyai keperluan berbeza dalam melengkapkan urusan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Rasmi Residensi Jati De Meru Fasa 1B (Blok A) di Galeri Jualan Residensi Jati De Meru di sini pada Ahad.
Sandrea berkata, kejayaan memulihkan projek itu hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi teknikal kerajaan negeri seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Menurutnya, kerjasama tersebut membantu mempercepatkan proses kelulusan teknikal sekali gus mempercepatkan pengeluaran CCC.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memberi kelonggaran dengan membenarkan tempoh setahun bagi pendaftaran hak milik strata.
"Langkah ini membantu mempercepatkan pengeluaran CCC dan membolehkan penyerahan kunci dilakukan kepada pembeli tanpa perlu menunggu proses strata selesai sepenuhnya," katanya.
Mengulas kebimbangan pembeli terhadap projek baharu, Sandrea memberi jaminan kerajaan negeri memperketat pemantauan bagi mengelakkan isu sama berulang.
Katanya, sebuah Jawatankuasa Pemantauan Projek Sakit dan Terbengkalai yang turut dianggotai Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) telah ditubuhkan bagi meneliti setiap projek perumahan di negeri ini.
"Perak juga merupakan negeri pertama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Perumahan Negara bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut memperkenalkan Dashboard Perumahan bagi membolehkan pemantauan projek dilakukan secara lebih sistematik dan awal.
"Melalui sistem ini, sebarang kelewatan dapat dikesan lebih awal supaya campur tangan segera boleh dilakukan bagi mengelakkan projek menjadi sakit," katanya.
Sementara itu, pelancaran Residensi Jati De Meru Fasa 1B (Blok A) menyaksikan penyediaan 1,084 unit kediaman dengan pelbagai susun atur bagi memenuhi keperluan berbeza.
Projek di Meru Raya itu menawarkan empat jenis unit dengan konfigurasi satu hingga empat bilik, selain mengambil kira keperluan pasaran rumah mampu milik.
Harga ditawarkan bermula lebih RM100,000 hingga RM200,000 bergantung kepada jenis unit, dengan sasaran memberi lebih banyak pilihan pemilikan rumah kepada rakyat negeri ini.