KOTA TINGGI - Amalan membaca dan membudayakan al-Quran mampu menangkis pemahaman sekular dan liberal.
Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor, Prof Dr Hussin Salamon berkata, fahaman sekular dan liberal yang dibawa dari barat ini boleh dielakkan jika orang Islam dapat membaca, memahami, mengamalkan serta menyebarkan maksud sebenar ayat-ayat al-Quran.
“Jika kita kerap mengamalkan, membaca, membudayakan dan menyebarkan maksud ayat- ayat al-Quran ini pastinya dapat memisahkan diri daripada terjerumus kepada pemahaman sekular serta liberal.
“Al-Quran ini sifatnya memberi petunjuk dan panduan untuk membawa orang Islam ke jalan benar jadi dengan membacanya, kita terhindar daripada pemikiran atau pemahaman yang dibawa dari Barat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Malaysia #QuranHour Negeri Johor 2026 di Masjid An-Nur, Felda Bukit Aping Timur di sini pada Ahad.
Bercerita mengenai penganjuran Malaysia #QuranHour Negeri Johor 2026, beliau gembira kerana program ini dihadiri ramai penduduk felda terutama yang tinggal berhampiran dengan Felda Bukit Aping Timur.
“Kehadiran orang muda juga ramai dan seimbang lelaki dengan perempuan jadi Alhamdulillah, kita gembira dengan sambutan menggalakkan ini.
“Lebih manis, program ini mendapat kerjasama penuh daripada Waqaf Felda yang turut memberi cadangan untuk bekerjasama sekali lagi bagi penganjuran Malaysia #QuranHour Negeri Johor ke tempat lain selepas ini,” ulasnya.
Bertemakan, ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’, majlis yang bermula 8 pagi itu dihadiri kira-kira 2,000 penduduk Felda di sekitar Kota Tinggi.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Pembangunan Wakaf, Muhamad Aliff Md Yusof berkata, program Malaysia #QuranHour Negeri Johor 2026 yang dilangsungkan hari ini berjaya mencapai matlamatnya.
Katanya, kehadiran ramai warga Felda menunjukkan program sebegini mendapat perhatian penduduk dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama untuk menjayakan Malaysia #QuranHour Negeri Johor.
“Kita menyambut baik dan menyokong usaha murni ini kerana dapat menghimpunkan semua generasi felda sambil membaca al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, rentetan daripada penyertaan Waqaf Felda di beberapa siri Malaysia #QuranHour sebelum ini, pihaknya juga akan menganjurkan Felda Quran Hour yang dijadualkan 25 September depan di Menara Felda.
Muhamad Aliff berharap, program ini dapat diteruskan setiap tahun dengan pengisian yang lebih menarik terutama aspek keislaman bagi menyemarakkan usaha membudayakan al-Quran.