Jerebu: Serian catat bacaan IPU 364, kualiti udara tahap bahaya - APIMS

Iklan
Matahari kelihatan suram diselubungi jerebu tebal menerusi satu pemandangan yang dirakamkan di Jalan Serian-Tebedu pada Ahad. FOTO: Bernama

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Kawasan Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap bahaya setakat jam 8 pagi pada Ahad. 

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 364.

Iklan
Iklan

Selain itu, tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan (300), Kuching (291) dan Sri Aman (214).

Kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat pula antaranya ialah Sarikei (195), Sibu (187), Bintulu (179), Samalaju (171), Mukah (170), Kapit (159), Miri (155) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (151).

Iklan

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. 

Iklan

Sementara itu, lima kawasan di Semenanjung turut mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi pada Ahad, melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Menurut portal APIMS, Batu Muda di Kuala Lumpur dan Johan Setia di Selangor masing-masing mencatatkan bacaan IPU 153, diikuti Tanjung Malim (121) dan Taiping (113) di Perak serta Cheras, Kuala Lumpur (105).

Pada Sabtu, Bernama melaporkan  Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes asma di fasiliti sentinel meningkat lebih lapan kali ganda kepada 1,811 kes bagi Minggu Epidemiologi ke-34, berbanding 219 kes pada minggu sebelumnya.

Kes konjunktivitis turut meningkat daripada 146 kepada 720 kes, manakala tiada kematian berkaitan komplikasi jerebu dilaporkan.

KKM menasihatkan orang ramai, terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit paru-paru kronik, supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan, serta memakai pelitup muka seperti N95 jika perlu berada di kawasan terbuka. - Bernama