MELAKA - Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang telah diselesaikan sebagai persediaan sekiranya rundingan dengan gabungan lain termasuk BN tidak mencapai kata sepakat.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, bagaimanapun pembahagian berkenaan hanya melibatkan kesepakatan dalam PH dan belum boleh dianggap sebagai keputusan muktamad.
"Susunan kerusi yang dipersetujui dalam PH itu dibuat berdasarkan kerusi yang secara tradisinya ditandingi setiap parti, selain mengambil kira sasaran masing-masing.
“Ada sasaran dan sebagainya tetapi persetujuan itu hanya dalam PH. Kalau berlaku gabungan yang lebih luas, mungkin akan ada perubahan. Jadi, tiada apa yang muktamad,” katanya ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Cabang Hang Tuah Jaya pada Sabtu.
Adam Adli berkata, rundingan antara parti politik sememangnya berlaku, namun setakat ini ia masih di peringkat perbincangan dan belum memasuki rundingan rasmi.
"Sekiranya rundingan lebih luas termasuk dengan BN berlaku, susunan kerusi yang telah dipersetujui dalam PH boleh berubah bergantung kepada hasil rundingan.
“Perundingan rasmi belum. Rundingan akan diadakan oleh Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail," ujar beliau.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, proses pemilihan calon pula merupakan urusan dalaman setiap parti dalam PH, termasuk PKR, DAP dan Amanah.
“DAP ada proses dia, Amanah ada proses dia, Keadilan ada proses dia.
“Peringkat PKR kita dah selesai dalam kalangan pimpinan negeri dan juga pimpinan cabang. Tinggal kita nak proses di peringkat Pusat sahaja,” katanya.