KOTA KINABALU - Dua ditemukan rentung manakala seorang lagi hilang dalam kejadian kebakaran melibatkan kira-kira 200 rumah atas air melibatkan tiga kampung di sini pada awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran melibatkan Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama yang terletak di Kampung Numbak.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.40 pagi.
Menurutnya, seramai 41 anggota melibatkan empat balai dikerah ke lokasi kejadian iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran.
"Kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal yang merangkumi tiga buah kampung iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
"Anggaran awal kebakaran melibatkan kira-kira 200 rumah. Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu laut," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
"Operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan.
"Hasil pemeriksaan, terdapat tiga orang dilaporkan dikhuatiri hilang dalam kejadian tersebut.
Beliau memaklumkan, jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan.
"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.