Piala Lee Chong Wei buka tirai, pentas baharu cungkil bakat muda badminton

Iklan
Chong Wei (depan, kiri) bersama bakat muda yang menyertai Piala Lee Chong Wei di Kuala Lumpur.

HASRAT Datuk Seri Lee Chong Wei untuk menyediakan platform berkualiti kepada pemain muda badminton negara mula direalisasikan apabila kejohanan sulung Piala Lee Chong Wei membuka tirai di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kejohanan yang berlangsung selama sembilan hari itu menyaksikan 184 perlawanan pada hari pertama membabitkan empat kategori perseorangan iaitu Lelaki dan Perempuan Bawah 13 Tahun (B-13) serta Lelaki B-15 dan Lelaki B-17.

Iklan
Iklan

Dengan penyertaan kira-kira 2,000 pemain dalam 13 kategori, kejohanan berkenaan menjadi medan penting buat pemain remaja menguji kemampuan selain merasai suasana pertandingan yang lebih hampir kepada standard antarabangsa.

Bagi Chong Wei, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar mencari juara, sebaliknya memberi pengalaman berharga kepada pemain muda dari segi persediaan mental dan suasana pertandingan.

Iklan

“Pemain junior mungkin tidak semuanya berpeluang menyertai kejohanan antarabangsa, tetapi sekurang-kurangnya menerusi kejohanan ini mereka dapat merasai pengalaman yang hampir sama.

“Jika saya mahu melakukan sesuatu, saya mahu lakukannya dengan betul dan memberikan segala usaha. Pendedahan seperti ini penting kerana mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi mereka sudah beraksi di pentas antarabangsa,” katanya.

Iklan

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, elemen seperti kemudahan pemain, susun atur gelanggang, paparan skor digital dan pengurusan pertandingan turut memainkan peranan dalam membentuk keyakinan atlet muda.

Kejohanan itu menyediakan kemudahan seperti tempat duduk pemain di tepi gelanggang ketika rehat, ruang rehat khas pemain serta paparan keputusan secara langsung di skrin besar, manakala semua aksi turut disiarkan menerusi laman rasmi kejohanan.

Selain itu, tiga hari terakhir saingan akan disiarkan secara langsung oleh Astro selaku penyiar rasmi kejohanan.

Menggunakan format unik, pusingan kelayakan Piala Lee Chong Wei turut memberi peluang kepada pemain di luar sistem latihan negeri dan kebangsaan untuk melangkah ke pentas utama.

Seramai 32 pemain yang berjaya melepasi saingan kelayakan akan menyertai 32 pemain pilihan yang sudah disenaraikan daripada program negeri dan kebangsaan bagi membentuk 64 pemain dalam saingan Grand Finals.

Chong Wei percaya format berkenaan mampu membuka ruang kepada kemunculan bakat baharu yang mungkin sebelum ini kurang mendapat perhatian.

“Badminton ialah sukan yang memerlukan kemahiran. Jika ada bakat tetapi tidak bekerja keras, seseorang pemain tidak akan berjaya. Begitu juga jika hanya bekerja keras tanpa bakat yang diperlukan, ia masih belum mencukupi,” katanya.