ATLET yang berjaya mencipta rekod kebangsaan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 akan menerima insentif RM20,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ganjaran itu terbuka kepada atlet yang memecahkan rekod kebangsaan dalam acara dipertandingkan, termasuk bagi kategori individu dan berkumpulan.
Beliau berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha KPT untuk terus memperkukuh pembangunan sukan dalam kalangan mahasiswa, selain mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke pentas lebih tinggi.
"Antara insentif utama ialah atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada kali ini akan ditawarkan RM20,000.
"Saya harap melalui SUKIPT kita dapat mencungkil bakat dalam bidang sukan yang dipertandingkan untuk kita letakkan mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika sidang media selepas merasmikan SUKIPT ketujuh di Kuala Lumpur pada Sabtu.
SUKIPT kali ini menyaksikan penyertaan 7,697 atlet daripada 64 kontinjen membabitkan pelbagai institusi pengajian tinggi, dengan 229 pingat emas menjadi rebutan.
Temasya itu turut digerakkan dengan penglibatan lebih 2,000 pegawai teknikal serta 750 sukarelawan.
Dalam pada itu, Zambry berkata, komitmen KPT terhadap pembangunan atlet turut berpaksikan konsep 'Podium dan Ijazah' bagi memastikan kecemerlangan dalam sukan dapat diseimbangkan dengan pencapaian akademik.
"Maknanya, mereka terlibat menjadi atlet yang hebat dan pada masa sama memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan.
"Apabila mereka tamat dalam bidang sukan, mereka juga akan memperoleh segulung ijazah," katanya.
Beliau berkata, KPT turut membuka laluan khas kepada atlet berpotensi untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi supaya bakat mereka dapat terus dibangunkan tanpa mengetepikan aspek pendidikan.
"Kita bukan hanya mendidik dari segi akademik, tetapi mereka yang berpotensi untuk kita bina dalam bidang sukan juga akan diberikan keutamaan," katanya.