JAGUH MMA China, Song Yadong mencipta kejutan terbesar dalam kariernya apabila menumbangkan pencabar elit kelas bantamweight UFC, Umar Nurmagomedov menerusi kemenangan kalah mati (KO) pada pusingan kedua dalam aksi utama UFC Shanghai pada Sabtu.
Kemenangan itu hadir di hadapan penyokong tuan rumah di Oriental Sports Center, sekali gus mengukuhkan status Yadong sebagai antara pencabar utama dalam divisyen 135 paun selepas menewaskan petarung Russia yang sebelum ini dianggap antara calon kuat perebutan gelaran.
Umar, sepupu kepada bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov, turun dengan reputasi hebat serta kelebihan teknik gusti yang menjadi senjata utamanya.
Petarung berusia 30 tahun itu bermula dengan meyakinkan apabila berjaya mengawal tempo pertarungan menerusi permainan bawah dan percubaan menjatuhkan lawan, namun Yadong kekal tenang sebelum mengubah corak serangan pada pusingan kedua.
Detik penamat berlaku apabila Yadong melepaskan tumbukan tepat ketika Umar cuba melakukan serangan balas, menyebabkan petarung Rusia itu rebah sebelum pengadil menghentikan pertarungan pada minit 1:48 saat pusingan kedua.
Kejayaan itu mencipta salah satu kemenangan paling bermakna buat Yadong yang kini membuktikan dirinya mampu bersaing dengan kelompok terbaik UFC selepas menewaskan nama besar yang sebelum ini belum pernah tewas dalam beberapa pertarungan penting.
Sementara itu, Khabib yang berada di sudut Umar sebagai jurulatih hanya mampu menyaksikan anak buahnya menerima kekalahan mengejut tersebut.
Legenda Rusia itu sebelum ini sering menjadi pembimbing utama Umar dalam persiapannya di UFC, terutama dalam aspek gusti dan strategi pertarungan.
Kekalahan tersebut menyaksikan misi Umar untuk kembali memburu peluang merebut tali pinggang UFC kelas bantamweight tertangguh, manakala Yadong kini muncul sebagai pencabar baharu yang semakin hampir kepada pentas perebutan kejuaraan dunia.