SHAH ALAM - Dewan Pameran A (Dewan A), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang kembali beroperasi dan disahkan selamat untuk kunjungan awam selepas insiden pengeluaran asap petang Sabtu.
Jawatankuasa Penganjur MAHA 2026 berkata, insiden teknikal berlaku kira-kira jam 4.50 petang itu berjaya dikawal sepenuhnya hasil tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan pengurusan keselamatan tapak.
Menurutnya, pemeriksaan komprehensif turut dijalankan serta-merta selepas insiden dan pihak berkuasa mengesahkan tiada ancaman keselamatan berterusan.
"Pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang ancaman keselamatan berterusan dan fasiliti berkaitan disahkan berada dalam keadaan selamat sepenuhnya.
"Pihak penganjur ingin menegaskan bahawa keadaan dikawal sepenuhnya dengan insiden teknikal itu telah diatasi sepenuhnya tanpa melibatkan implikasi struktur," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jawatankuasa Penganjur MAHA 2026 turut memaklumkan, tiada kecederaan, kecemasan perubatan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, Dewan Pameran A juga telah dibuka semula untuk kunjungan orang ramai berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, jawatankuasa menjelaskan, tindakan pengosongan sementara dewan dilaksanakan sebagai langkah pencegahan standard mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan MAHA 2026 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung serta pempamer.
Justeru, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke MAHA 2026 bersama keluarga dan rakan-rakan.