MOF perlu bertanggungjawab kenyataan mengelirukan isu lesen judi di Kedah - Afnan Hamimi

Iklan
Afnan Hamimi

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan (MOF) digesa bertanggungjawab terhadap kenyataan berhubung isu lesen perjudian di Kedah yang didakwa mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan MOF mengenai lesen perjudian di Kedah adalah tidak tepat sehingga menimbulkan salah faham terhadap kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri Kedah telah mengumumkan usaha untuk mensifarkan premis judi di negeri tersebut sejak 14 November 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Afnan Hamimi menambah, Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bersidang pada 8 Disember 2021 turut menetapkan bahawa kerajaan negeri tidak meneruskan pemberian lesen premis perjudian bermula 1 Januari 2023.

Iklan

Menurutnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kerajaan negeri telah menghantar wakil untuk berunding dengan MOF supaya lesen di bawah Akta Pertaruhan Kumpulan (PBA 1967) tidak diteruskan bagi tahun 2023.

“Bagaimanapun, fakta mahkamah menunjukkan MOF masih meneruskan pemberian lesen bagi tahun 2023,” ujarnya.

Iklan

Beliau berpandangan, kenyataan MOF bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen baharu perjudian tidak menjawab perkara yang dibangkitkan.

“Sedangkan apa yang dibangkitkan bukan mengenai lesen baharu tetapi lesen sedia ada yang diperbaharui setiap tahun,” tambahnya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu menegaskan, MOF seharusnya bertanggungjawab terhadap kenyataan yang mencetuskan kekeliruan, malah kementerian itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sekadar mengeruhkan keadaan.

Beliau mengingatkan, pemberian lesen oleh MOF menjadi asas kepada pertikaian mahkamah oleh pihak syarikat loteri dan judi.

“Tidak perlulah mengalihkan perhatian terhadap Pas semula kerana usaha membanteras judi wajar disokong tanpa rasa prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Justeru, Afnan Hamimi mengajak semua pihak bersatu hati bersama kerajaan negeri Kedah serta negeri-negeri lain yang memansuhkan lesen premis judi mereka.

Beliau memberitahu, dasar sifar judi wajar dipertahankan bagi memastikan sosial masyarakat terus terpelihara.