Amy Search mohon doa keselamatan Loe Solo di Nepal

Iklan
Gambar kenangan Amy bersama Loe Solo ketika berada di Nepal pada 2018.

SHAH ALAM – Penyanyi, Datuk Amy Search memohon orang ramai mendoakan keselamatan sahabatnya, Loe Solo yang dipercayai masih berada di Nepal ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa bencana di negara itu masih diteruskan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, Amy berkata, ahli keluarga masih menantikan berita mengenai sahabatnya itu, manakala usaha mencari Loe Solo bersama beberapa rakannya sedang dijalankan.

Iklan
Iklan

“Mohon semua mendoakan sahabat saya Loe Solo (Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa), Ganesh Adventure White Himalaya Treks dan rakan-rakan yang kini berada di Nepal.

“Ahli keluarga masih menunggu berita dan usaha mencari mereka masih diteruskan,” katanya.

Iklan

Anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44 atau lebih dikenali sebagai Loe, antara rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi selepas kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Rasuwa, Nepal.

Pendaki profesional itu bersama sekumpulan rakannya dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika kejadian dan usaha mengesan serta menghubungi mereka masih diteruskan.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 72 rakyat Malaysia yang terkandas di Tibet, China susulan gangguan perjalanan akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal disahkan selamat dan berada dalam keadaan baik.

Kementerian Luar (KLN) memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan kumpulan terbabit yang kini berada di Darchen, manakala ahli keluarga mereka turut dimaklumkan mengenai perkembangan berkenaan.

Sementara itu, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal masih dilaporkan belum dapat dihubungi, manakala dua individu yang sebelum ini gagal dihubungi kini berjaya dikesan.

Menurut KLN, pengesahan mengenai status rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi sedang diteruskan.

Dalam pada itu, Amy turut mendoakan agar semua yang berada di kawasan terjejas dilindungi daripada bahaya, selain memohon urusan pasukan mencari dan menyelamat dipermudahkan.

“Semoga ALLAH SWT melindungi mereka semua daripada bahaya, mempermudahkan urusan pasukan mencari dan menyelamat serta mengembalikan mereka dalam keadaan selamat.

“Mohon teruskan doa buat mereka dan semua mangsa bencana di Nepal,” katanya.

Hantaran itu turut disertakan gambar kenangan Amy bersama Loe dan Ganesh ketika mereka mendaki ke Annapurna Base Camp (ABC) pada April 2018.