ALOR SETAR - Syarikat percetakan NE Creative Ventures memohon maaf secara terbuka kepada Pejabat Menteri Besar Kedah berhubung kesilapan cetakan bintang pada pakaian Jalur Gemilang yang dipakai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dan beberapa kenamaan ketika Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang pada Jumaat.
Menerusi surat rasmi permohonan maaf kepada Pejabat Menteri Besar Kedah, pihak syarikat tersebut mengakui berlaku kekhilafan dalam proses pengeluaran sehingga menyebabkan jumlah bucu bintang pada cetakan Jalur Gemilang tidak menepati spesifikasi rasmi.
Menurut syarikat dari Ayer Keroh, Melaka itu, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesilapan tersebut dan akan melakukan pembetulan segera menerusi penyediaan pakaian gantian baharu yang mematuhi spesifikasi rasmi Jalur Gemilang.
“Reka bentuk pakaian tersebut dicetak berdasarkan bahan rujukan fail (artwork) yang diterima sebelum melalui proses tracing teknikal pada fasa pengeluaran.
“Pihak kami mengakui berlaku kekhilafan selepas menerima tempahan tambahan pada saat akhir bagi memenuhi tarikh akhir yang singkat, mengakibatkan proses semakan terperinci (kawalan kualiti) kurang teliti,” menurut surat berkenaan.
Syarikat tersebut memaklumkan pihaknya mengambil serius isu tersebut serta menghargai teguran dan komen orang ramai susulan gambar program berkenaan tular.
“Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali dan kami amat menghargai kerjasama serta toleransi daripada pihak yang terlibat,” katanya.
Pihak syarikat turut menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP), khususnya membabitkan penghasilan pakaian yang mempunyai lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat.
“Mulai hari ini, syarikat akan mewajibkan pelanggan menandatangani borang pengesahan draf akhir sebelum sebarang proses cetakan, terutama yang melibatkan lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat,” katanya.
Sebelum ini, gambar Sanusi dan beberapa kenamaan yang memakai pakaian berkenaan tular di media sosial sehingga mendapat kritikan orang ramai selepas cetakan bintang pada Jalur Gemilang didapati tidak mempunyai 14 bucu seperti yang sepatutnya.
Pakaian berkenaan dipakai sempena program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-69 yang diadakan pada Jumaat.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Anak Bukit dan DUN Suka Menanti itu dirasmikan Menteri Besar Kedah, dengan hampir 100 bot menyertai perarakan bermula dari Kampung Alor Madi hingga ke Muzium Negeri sambil mengibarkan Jalur Gemilang.