KEPALA BATAS - Penganjuran Malaysia #QuranHour 2026 peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini menekankan bahawa al-Quran bukan sekadar kitab yang perlu dibaca semata-mata, sebaliknya difahami dan dihayati sekali gus panduan hidup sepanjang hayat.
Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia, Datuk Ahmad Darus berkata, insan yang menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dan teman hidup diyakini akan dibuka jalan menuju kehidupan yang diredai ALLAH SWT.
"Pendekatan yang diatur Rumah Ngaji sangat bermanfaat...baca dengan baik, baca dengan bertartil, dengan betul...faham dan amal apa yang diajarkan dalam al-Quran.
"Tak kira dalam bentuk macam mana sekalipun, kita kena usahakan untuk faham kerana ia panduan dalam kehidupan manusia khususnya dalam mencari jalan mendapatkan reda ALLAH SWT," katanya semasa merasmikan Malaysia #QuranHour 2026 peringkat Negeri Pulau Pinang di Masjid Al-Imam As-Syafie di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Program #QuranHour, Abd Halim Ibrahim bersyukur kerana berjaya menganjurkan dan menjadi tuan rumah di peringkat Pulau Pinang tahun ini.
"Kita anjurkan di masjid ini yang mula beroperasi Januari lalu, secara tidak lansung memberi peluang kepada orang ramai tahu kewujudan sebuah masjid baharu di sini.
"Program ini gandingan Rumah Ngaji dan jawatan kuasa masjid, amat berkesan dengan sambutan meriah dihadiri lebih 500 peserta menunjukkan kejayaan yang baik bagi penganjuran kali ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taupek Abd Rahman berkata, kesemua peserta terdiri daripada wakil dari 130 Rumah Ngaji di negeri itu, penduduk sekitar dan pengunjung masjid.
"Rumah Ngaji di Pulau Pinang dianjurkan di masjid, surau, sekolah menengah, Hospital Kepala Batas, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, rumah kediaman di kawasan perkampungan dan taman perumahan sekitar negeri...Alhamdulillah hari ini semua berkumpul di sini," jelasnya.
Program yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu dijayakan dengan kehadiran Pentadabbur dan Wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.
Menurut Mohd Harfiz, Malaysia #QuranHour kali ini membincangkan pembinaan Malaysia Sejahtera menerusi empat surah dibahaskan secara ringkas.
"Surah Al-Fatihah menceritakan tentang sinopsis kejayaan, Surah Al-Baqarah formula untuk menuju kejayaan, Surah Al-Balad formula untuk membina negara bangsa dan Surah Al-Muzzammil sebagai kesimpulan menghadapi cabaran dalam membina Malaysia Sejahtera.
"Dari tahun ke tahun penganjuran #QuranHour, kita kaji dari satu surah ke satu surah dan tahun ini kita melihat perspektif dari surah yang telah kita bincangkan, dengan harapan apa sahaja yang kita bina, kita tak buat andaian sendiri tetapi panduan paling jelas ialah Al-Quran," katanya.
Beliau berkata, Malaysia #QuranHour akan berlansung serentak di seluruh negara pada Ahad 30 Ogos di mana Mohd Harfiz akan mewakili Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Surau Al-Muhsinin, Sungai Lalang, Kedah.