SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Penglibatan kerajaan negeri dan wakil rakyat sangat diharapkan bagi menjayakan program Malaysia #QuranHour 2026 yang kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya.
Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, program terbabit yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini akan dianjurkan di tiga lokasi utama di negeri ini iaitu Masjid Jamek Dato' Kelana Petra Sendeng, Ampangan; Club House Mahkota Hills, Lenggeng dan Masjid As-Syakirin, Gemencheh.
Menurutnya, pra-pelancaran akan diadakan pada 28 Ogos ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad, Sikamat dengan penglibatan hampir 1,000 peserta termasuk ibu bapa.
"Kita berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menyatakan kesediaan untuk turut serta menjayakan program ini.
"Menjadi harapan kita supaya kerajaan negeri dan barisan pemimpin dapat bersama-sama dalam program ini yang bukan sahaja menjadi platform membudayakan pembacaan al-Quran dalam masyarakat Islam, tetapi juga mahu setiap orang menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, Malaysia #QuranHour tahun ini membawa tema 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera' yang menjadi wadah penyatuan ummah dengan mengambil panduan daripada Surah al-Muzammil, al-Balad dan al-Baqarah.
Tambahnya, ia turut memberi mesej kepada pembentukan pemimpin yang bertakwa dan berintegriti serta dasar yang mengutamakan suara rakyat.
"Kita mahu melahirkan negara yang berbudi dan penyayang dengan pemimpin yang bertakwa serta berintegriti, pembuat dasar yang mengutamakan suara rakyat dan penjawat awam yang amanah serta tidak menyalahgunakan kuasa.
"Sekiranya al-Quran dijadikan panduan, seorang pemimpin itu mampu menjadi pemimpin yang lebih amanah dan berintegriti," katanya.
Beliau berharap Malaysia #QuranHour dapat dijadikan program tahunan kerajaan negeri supaya mesej dan pengajaran daripada ayat al-Quran dapat diterjemahkan sehingga ke peringkat akar umbi.
"Kita tidak mahu sekadar mengadakan majlis dan selesai. Apa yang lebih penting ialah penghayatan dan pelaksanaan nilai yang dibawa dalam kehidupan, pentadbiran dan masyarakat," katanya.