KOTA BHARU - Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan berlangsung, Masjid Al-Munir, Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini mula sibuk dengan aktiviti rewang dan persiapan bagi memastikan kelancaran program berkenaan.
Seawal sehari sebelum majlis, orang ramai termasuk golongan belia dan pelajar turun padang membantu melakukan pelbagai persiapan termasuk menyediakan bahan-bahan masakan, menyusun kerusi serta mengatur ruang di dalam dan sekitar masjid.
Naib Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Aziah Zawawi berkata, persiapan berkenaan dilakukan secara gotong-royong bagi memastikan segala keperluan program dapat diselesaikan sebelum ketibaan peserta.
"Alhamdulillah, hari ini kita buat persediaan untuk sembelih lembu esok.
"Hari ini kita rewang sebelum berlangsungnya Malaysia #QuranHour," katanya pada Sabtu.
Program Malaysia #QuranHour 2026 kembali membawa seruan ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’ dengan pengisian yang menekankan penghayatan al-Quran sebagai panduan membentuk masyarakat berakhlak dan penyayang.
Penganjuran peringkat kebangsaan akan berlangsung di Masjid Al-Sultan Abdullah, Jalan Stadium, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur bermula dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang.
Aziah memberitahu, di Kelantan program bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat, ahli Rumah Ngaji, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan swasta (IPTS), badan beruniform, asnaf serta agensi kerajaan, swasta dan badan berkanun.
Beliau berharap segala persiapan yang dilakukan bersama komuniti setempat itu membuahkan hasil dan program berkenaan dapat berlangsung seperti dirancang.
"Harapan kita, insya-ALLAH semuanya berjaya dan apa yang kita harapkan akan menjadi realiti," katanya.