'Permatang Pauh... tak akan saya nak lupa' - Anwar

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran SUB Madani Permatang Pauh di Yayasan Aman pada Sabtu. Foto: Bernama

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah melupakan Permatang Pauh yang dianggap sebagai titik awal perjuangan politiknya sebelum meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Beliau berkata, meskipun kini mewakili kawasan Parlimen Tambun, Permatang Pauh tetap mempunyai nilai sentimental kerana kawasan itu menjadi tempat bermulanya perjalanan politik beliau.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Skim Usahawan Bangkit (SUB) Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman Penanti, Kubang Semang di sini pada Sabtu.

Menurut Anwar, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum bertanding di Port Dickson, Negeri Sembilan dan kemudiannya di Tambun bagi memperkukuhkan perjuangan politiknya.

Iklan

“Mengenangkan Permatang Pauh adalah tempat saya, saya minta kepada penganjur supaya buat Program SUB di sinu.

"Tak apalah kamu buat di Bukit Gantang, buat di Trong, tapi kena turun ke Permatang Pauh kerana ini tempat aku, kampung halaman aku. Dan ini lah buktinya, hari ini SUB diadakan di Parlimen Permatang Pauh," ujarnya.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan terus memperluas pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat termasuk menerusi program bantuan tunai, pembiayaan serta sokongan kepada golongan usahawan kecil.

Tambah beliau, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional antara usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Namun, Anwar berkata, bantuan berbentuk modal dan peluang menjana pendapatan juga penting supaya rakyat mampu berdikari serta tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Kadang-kadang yang lebih penting ialah bagi dia modal, bagi dia berniaga, jalan hidup sendiri supaya tidak bergantung lagi.

“Itu saya ingatkan, tujuan kita untuk usahawan kecil-kecilan. Sebab itu saya memberi sokongan rancangan usahawan ini supaya dia boleh bangkit, sama ada dia jatuh, bangkit semula ataupun daripada tidak ada upaya, bangkit.

“Ini peranan kita sebenarnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tumpuan kerajaan perlu diberikan kepada usaha membantu rakyat di peringkat akar umbi dan bukan sekadar terperangkap dalam persengketaan politik.

“Kalau tidak, saya tengok politik ini, ini yang maki sana, bergaduh sana, kerja tak buat pun. Program tak ada.

“Jadi sebab itu, mudah-mudahan di Permatang Pauh, kita jayakan kerana orang nak hidup,” katanya.