PONTIAN – UMNO menyokong penuh sebarang usaha ke arah penyatuan ummah dan berharap hubungan yang kembali terjalin dengan Pas dapat terus diperkukuhkan tanpa berakhir seperti kerjasama Muafakat Nasional sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah menjemput wakil Pas menghadiri persidangan semua sayap serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan satu perkembangan yang positif.
Menurutnya, usaha berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu disambut baik demi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.
“Bukan hanya Perhimpunan Agung, malah Wanita, Pemuda dan Puteri turut menjemput wakil mereka. Pas juga mempunyai sayap masing-masing.
“Apabila Pas terlebih dahulu menjemput kita, ini menunjukkan kita sedang menuju ke arah perpaduan ummah yang sangat baik,” katanya selepas merasmikan Program Ambang Kemerdekaan Pontian Di Hatiku Zon Pontian E, di Taman Sentosa di sini pada pagi Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO dilaporkan akan memanjangkan jemputan rasmi kepada pucuk pimpinan tertinggi Pas untuk menghadiri PAU 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 September depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan selain membalas jemputan Pas untuk menghadiri Muktamar Tahunan parti itu di Kelantan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan menjemput beberapa pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 5 September ini.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan, sebarang bentuk usaha ke arah penyatuan ummah wajar disokong kerana ia merupakan hasrat yang diinginkan oleh umat Islam di negara ini.
“Umat Islam di Malaysia tidak mahu parti-parti yang berteraskan Melayu menjadi punca perpecahan.
“Parti berteraskan Melayu yang utama ada dua iaitu UMNO dan Pas. Oleh itu, usaha ke arah penyatuan ini perlu dilihat sebagai sesuatu yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berharap usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua parti dapat diteruskan dan tidak berakhir seperti kerjasama menerusi Muafakat Nasional sebelum ini.
“Kita tidak mahu menjadi macam Muafakat Nasional, putus di tengah jalan.
“Kita harap ia berkekalan dan semangat perpaduan ummah ini terus diperkukuhkan,” katanya.
Mengimbas hubungan UMNO dan Pas sebelum ini, Ahmad berkata, kedua-dua parti pernah berkongsi pentas ketika menjalinkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional.
Katanya, beliau sendiri pernah duduk bersebelahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menghadiri PAU.
“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah dijemput menghadiri perhimpunan tersebut.
“Ini menunjukkan sebelum ini memang pernah ada pemimpin daripada parti lain dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
Untuk rekod, kehadiran Abdul Hadi ke PAU pada 6 Disember 2019 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika itu dikenali sebagai PWTC, menjadi antara simbol penting kerjasama UMNO dan Pas menerusi Piagam Muafakat Nasional.
Anwar pula mencatat sejarah apabila menghadiri PAU pada 2023 iaitu penampilan pertamanya di perhimpunan parti itu selepas 25 tahun atas kapasiti sebagai Perdana Menteri.