Pemimpin Islam kurangkan berpolitik
AWANG menjunjung duli tabik hormat pada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah Maulidur Rasul. Baginda berharap dikurangkan sengketa sesama orang politik, sebaliknya berikan tumpuan pada usaha memperkukuh serta meningkatkan kegemilangan ummah. Titah baginda lagi, umat Islam sekarang berdepan cabaran perpecahan akibat perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan selain tarikan pada pengaruh, pangkat, jawatan, harta serta kemewahan dunia.
Apakan daya, politik adalah segala-galanya dalam kehidupan kita. Segala-galanya dipolitikkan. Yang pandai dan sibuk berpolitik adalah orang Melayu Islam. Orang lain guna 'kuasa politik' secara bijaksana melalui undian dan pengaruh mereka, sedangkan kita sibuk dengan sepak terajang politik. Politik Melayu berpecah macam cermin. Tak setuju parti buat parti lain. Tak setuju pemimpin tinggalkan parti dan kecam bekas pemimpin.