Dari free thinker ke pendakwah lantang
DALAM dunia dakwah dan media sosial, nama Firdaus Wong Wai Hung sering mengundang perhatian, perbahasan dan kontroversi kerana pendekatannya yang lantang serta berterus terang. Bagi penyokong, beliau dilihat berani mempertahankan prinsip tanpa takut kepada tekanan, namun pengkritik pula menganggap pendekatannya terlalu tegas dan konfrontasi hingga menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
Di sebalik imej itu, karakter Firdaus Wong turut dibentuk sejak zaman bola sepak apabila pernah mewakili Kuala Lumpur serta pasukan kebangsaan Bawah 17 dan Bawah 20 tahun sebagai pemain pertahanan, namun tidak pernah menerima kad kuning mahupun kad merah. Baginya, pengalaman tersebut mengajar tentang disiplin, fokus dan ketegasan tanpa melanggar peraturan iaitu prinsip yang dibawanya hingga ke medan dakwah hari ini.