BARU-baru ini tular di media sosial bagaimana netizen mempersoalkan lambakan pekerja dan peniaga asing yang secara agresif merebut ekonomi negara. Keluhan rakyat ini berasaskan persaingan yang mereka hadapi di lapangan.
Seperti perbahasan saya di Dewan Negeri Selangor beberapa minggu lalu, persaingan ekonomi hari ini bukan terhad kepada persaingan antara Melayu, Cina dan India, tetapi peniaga kedai runcit kita kini bersaing dengan peniaga Aceh, tukang jahit kita bersaing dengan tukang jahit Bangladesh, sementara peniaga kita di pasar-pasar borong terpaksa bersaing dengan warga Myanmar, Nepal dan sebagainya.
Isunya mengapa rakyat mengeluh sedang ekonomi kita terus membesar dari segi angka? Hakikatnya, ekonomi besar belum tentu ekonomi yang dirasai dan dinikmati oleh rakyat.
Ekonomi Malaysia sedang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Permintaan domestik, eksport dan pelaburan terus menyumbang kepada pertumbuhan, sementara sektor baharu seperti semikonduktor, pusat data dan ekonomi digital membuka ruang baharu kepada pembangunan negara.
Semua petunjuk ini amat signifikan. Tidak ada warganegara yang bertanggungjawab harus memperlekehkan pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan atau keyakinan pasaran. Tanpa pertumbuhan, kerajaan tidak mempunyai asas hasil yang kukuh untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan kepada rakyat.
Namun, satu persoalan semakin kuat bermain dalam fikiran rakyat. Jika ekonomi sedang berkembang, mengapa kehidupan masih terasa begitu berat?
Jawapannya bukan kerana pertumbuhan itu palsu. Persoalan sebenarnya ialah sejauh mana pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada gaji, pendapatan boleh guna, peluang perniagaan dan pemilikan kekayaan oleh rakyat.
KDNK mengukur nilai keseluruhan aktiviti ekonomi. Tetapi ia tidak memberitahu kita siapa yang menerima nilai tersebut, berapa banyak menjadi upah pekerja, berapa banyak menjadi keuntungan dan berapa banyak kekal dalam ekonomi tempatan.
Sebab itu persoalan pembangunan selepas ini tidak boleh berhenti pada berapa besar ekonomi kita, tetapi perlu bergerak kepada berapa banyak kekayaan yang dicipta benar-benar sampai dan dinikmati oleh rakyat?
Selangor sudah menjadi kuasa ekonomi
Persoalan ini amat relevan bagi Selangor. Pada tahun 2025, KDNK Selangor telah mencecah RM460.1 bilion, meningkat daripada RM432.9 bilion pada tahun sebelumnya. Ekonomi negeri berkembang 6.3 peratus, manakala KDNK per kapita mencapai RM70,362, melebihi purata nasional RM59,167.
Pasaran buruh juga kukuh. Pada suku pertama 2026, Selangor mempunyai sekitar 4.054 juta penduduk bekerja dan kadar pengangguran hanya sekitar 2 peratus.
Ini bukan gambaran sebuah ekonomi yang gagal. Sebaliknya, Selangor telah mencapai tahap kematangan yang membolehkan kita menetapkan ukuran kejayaan yang lebih tinggi.
Cabaran selepas ini bukan sekadar membesarkan ekonomi, tetapi memastikan ekonomi yang besar itu lebih dirasai rakyat.
Apabila ekonomi RM460 bilion bertemu gaji RM3,445
Pada Mac 2026, median gaji pekerja formal di Selangor ialah RM3,445 sebulan. Walaupun antara yang tertinggi di Malaysia, angka itu perlu dibaca dalam konteks kehidupan metropolitan.
Pekerja Selangor menanggung sewa atau pinjaman rumah, petrol, tol, kenderaan, penjagaan anak, pendidikan dan hutang. Ramai pula kehilangan beberapa jam sehari dalam perjalanan antara rumah dengan tempat kerja.
Seseorang boleh mempunyai pekerjaan, tinggal di negeri terkaya di Malaysia dan tidak dikategorikan sebagai miskin, tetapi masih mempunyai ruang kewangan yang sangat kecil pada penghujung bulan.
Sebab itu apabila pengangguran sudah rendah, kerajaan perlu bergerak daripada persoalan berapa banyak pekerjaan diwujudkan kepada apakah kualiti pekerjaan yang diwujudkan.
Produktiviti yang meningkat mesti akhirnya diterjemahkan kepada gaji yang lebih tinggi. Selangor sudah membuktikan kemampuannya menghasilkan nilai ekonomi. Cabaran berikutnya ialah memastikan pekerja menerima bahagian yang lebih baik daripada nilai yang mereka bantu hasilkan.
Daripada pelaburan yang masuk kepada nilai yang kekal
Prinsip sama harus digunakan dalam menilai pelaburan. Sebuah syarikat antarabangsa boleh membina kemudahan bernilai berbilion ringgit di Selangor. Tetapi manfaat sebenar kepada rakyat bergantung pada siapa yang diambil bekerja, berapa gaji mereka, siapa pembekalnya dan berapa banyak perusahaan tempatan memasuki rantaian nilai.
Jika mesin, teknologi, kepakaran dan perkhidmatan utama diperoleh dari luar, nilai tambah tempatan mungkin jauh lebih kecil daripada nilai keseluruhan pelaburan.
Selangor tidak boleh sekadar menjadi lokasi fizikal kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi. Kita mesti bergerak kepada reka bentuk, kejuruteraan, penyelidikan, perisian, teknologi dan pemilikan harta intelek.
Bagi pelaburan yang menerima tanah, infrastruktur atau insentif kerajaan negeri, boleh diwujudkan suatu local economic value compact yang menghubungkan bantuan kerajaan dengan pengambilan pekerja tempatan, pekerjaan bergaji tinggi, latihan, pembangunan vendor, pembelian daripada SME tempatan dan pemindahan teknologi.
Prinsipnya mudah, jika kerajaan mencipta nilai untuk pelabur, pelaburan itu juga perlu mencipta nilai yang boleh diukur untuk rakyat.
PMKS mesti masuk ke dalam rantaian pertumbuhan
Kehadiran syarikat besar juga perlu digunakan untuk melahirkan syarikat tempatan yang lebih berkeupayaan.
Kerajaan boleh memetakan rantaian bekalan sektor strategik seperti semikonduktor, pusat data, aeroangkasa, farmaseutikal, logistik dan teknologi hijau untuk mengenal pasti bahagian yang masih bergantung kepada pembekal luar.
PMKS tempatan kemudian perlu dibantu bukan sekadar melalui seminar dan geran kecil, tetapi dengan pensijilan, teknologi, pembiayaan, kontrak dan akses kepada syarikat besar.
Matlamatnya ialah membantu perusahaan mikro menjadi kecil, perusahaan kecil menjadi sederhana dan perusahaan sederhana menjadi pengeksport serantau.
Kuasa perolehan kerajaan negeri dan GLC juga perlu digunakan untuk tujuan ini. Setiap ringgit perbelanjaan kerajaan boleh menjadi instrumen membina vendor, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh syarikat tempatan.
Ukuran apa yang benar-benar dirasai rakyat?
Selangor juga perlu mengubah cara kejayaan dasar diukur.
Program latihan, misalnya, tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peserta atau sijil. Kita perlu mengetahui berapa ramai mendapat pekerjaan, gaji permulaan mereka dan peningkatan pendapatan selepas satu atau dua tahun.
Begitu juga dengan perumahan. Rumah yang murah tetapi jauh daripada tempat kerja boleh menjadi mahal apabila dicampurkan dengan kos kereta, petrol, tol dan masa perjalanan. Dasar perumahan mesti disepadukan dengan pengangkutan dan lokasi pekerjaan.
Kerajaan negeri boleh memperkenalkan Dashboard Ekonomi Rakyat Selangor, melaporkan bukan sahaja KDNK dan pelaburan tetapi median gaji, pekerjaan mahir, pendapatan boleh guna, penyertaan SME dalam rantaian bekalan, kos perumahan, masa perjalanan dan pemilikan aset.
Kita perlu mengetahui bukan sekadar sama ada ekonomi berkembang, tetapi siapa yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan itu.
Ekonomi yang dirasai rakyat
Politik progresif bukan politik yang memusuhi perniagaan. Peniaga mendambakan sebuah kerajaan yang melaksanakan kebijakan ease of doing business. Kita memerlukan syarikat yang produktif, menguntungkan dan berani melabur.
Tetapi ekonomi pro-perniagaan tidak boleh berakhir dengan keuntungan perniagaan sahaja.
Keuntungan mesti menghasilkan pelaburan. Pelaburan meningkatkan produktiviti. Produktiviti meningkatkan gaji. Gaji yang lebih baik membina simpanan dan aset.
Dan pemilikan aset memperluaskan kekayaan kepada lebih ramai rakyat. Selangor sudah berjaya membina ekonomi terbesar di Malaysia. Kini kita perlu menetapkan ukuran kejayaan yang lebih tinggi.
KDNK tetap penting. Pelaburan tetap penting. Keuntungan perniagaan juga penting. Tetapi semuanya adalah alat, bukan matlamat akhir. Matlamat pembangunan ialah kehidupan manusia yang lebih baik.
Masa depan Selangor bukan sekadar ekonomi yang lebih besar. Ia mestilah ekonomi yang lebih produktif, lebih kompleks dan lebih inklusif — ekonomi yang nilainya bukan sahaja dihasilkan di Selangor, tetapi dimiliki dan dirasai oleh lebih ramai rakyat Selangor.
* Hilman Idham ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia