KATHMANDU – Dua lelaki ditahan polis Nepal kerana didakwa mencuri anting-anting emas daripada mayat seorang wanita yang dihanyutkan arus deras ketika banjir besar melanda Sungai Narayani.
Penahanan itu dilakukan selepas rakaman video berdurasi 41 saat yang memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan mengambil anting-anting daripada mayat mangsa tular di media sosial.
Polis Nepal kemudiannya berkongsi semula rakaman tersebut dan mengesahkan kedua-dua suspek telah ditahan kerana disyaki mencuri anting-anting daripada telinga wanita berkenaan.
Dalam rakaman itu, kedua-dua lelaki dilihat menarik mayat wanita tersebut keluar dari air menggunakan papan kayu dan rambut mangsa.
Mereka kemudian mengeluarkan anting-anting dari kedua-dua telinga mangsa sebelum meletakkannya di tepi, manakala beberapa individu lain dilihat berada di sekeliling lokasi sambil merakam kejadian itu.
Polis Chitwan berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu membabitkan mayat mangsa yang dihanyutkan ke Sungai Narayani akibat banjir besar.
Berdasarkan rakaman berkenaan, polis mengenal pasti suspek sebagai Madan Gurung, 25, dan Umesh Chaudhary, 38.
Menurut portal media Nepal, Khabarhub, kedua-dua suspek ditahan berhampiran Pokhara Bus Park di Bharatpur Metropolitan City-1 pada Khamis.
Polis menegaskan sebarang kegiatan mencuri atau perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa ketika situasi genting seperti itu tidak akan bertolak ansur.
Kejadian tersebut berlaku ketika Nepal berdepan antara bencana banjir paling dahsyat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pasukan penyelamat kini meredah kawasan berlumpur dalam usaha mencari lebih 1,400 orang yang masih hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Angka korban dilaporkan meningkat kepada sekurang-kurangnya 472 orang, dengan beberapa kampung musnah selepas dihanyutkan arus deras.
Di Tibet pula, tanah lumpur yang deras pada Rabu melanda sebuah bangunan pelabuhan bertingkat serta menenggelamkan kawasan parkir bas di lintasan sempadan darat Gyirong Port, menurut penyiar negara China, CCTV.
Lumpur di kawasan sekitar dilaporkan mencapai kedalaman purata lebih 1.5 meter.
Semua jalan menuju ke lintasan tersebut turut mengalami kerosakan, manakala risiko runtuhan atau tanah runtuh susulan masih wujud berikutan hujan yang berterusan di kawasan berkenaan. - Agensi