Dari permainan kanak-kanak ke gelanggang antarabangsa

Iklan
Nur Fadly Hadi dan pasukannya ketika menyertai Southern Thailand Championship Malaysia & Thailand di Hat Yai, Jun lalu.

BERMULA sekadar hobi mengumpul dan bermain permainan gasing moden, beyblade bersama rakan-rakan, siapa sangka minat itu akhirnya membawa Nur Fadly Hadi Zulkiply membina komuniti pemain sehingga mencecah kira-kira 400 ahli.

Lebih membanggakan, minat terhadap permainan itu bukan sahaja membawa lelaki berusia 40 tahun dari Felda Batu Lapan, Changlun, Kedah itu ke gelanggang pertandingan dalam negara, malah sehingga ke Thailand.

Iklan
Iklan

Berkongsi kisahnya, Nur Fadly Hadi berkata, minat terhadap beyblade tercetus ketika bekerja di Jepun pada Januari 2025, semasa permainan itu masih baru diperkenalkan di negara berkenaan.

"Saya diperkenalkan kepada permainan ini oleh kawan saya, Nazaruddin Kamis atau lebih dikenali sebagai Cik Din. Pada Mei 2025, saya mula bermain bersama kawan-kawan secara suka-suka.

Iklan

"Saya tertarik sebab beyblade mempunyai bahagian-bahagian tersendiri dengan fungsi masing-masing. Dalam permainan ini ada elemen sains dan matematik yang sangat praktikal.

"Beyblade terdiri daripada tiga komponen utama iaitu blade, ratchet dan bit yang masing-masing mempunyai fungsi tertentu serta memerlukan pemain memahami aspek teknikal sebelum mampu menguasai permainan," katanya.

Iklan

Pada awalnya, Nur Fadly Hadi hanya bermain beyblade pada waktu lapang, selain mengumpul pelbagai jenis dan jenama gasing moden itu sebagai koleksi.

Namun minatnya terhadap gasing moden itu semakin berkembang apabila Kelab Gasing Beyblade ditubuhkan di Malaysia dengan permainan berkenaan mula mendapat tempat sebagai antara aktiviti sukan di sekolah.

Nur Fadly Hadi (kiri) ketika menyertai pertandingan beyblade baru-baru ini.

Daripada sekadar hobi, Nur Fadly Hadi kemudian mula menceburi dunia beyblade secara lebih serius termasuk menyertai pertandingan serta membina koleksi sendiri.

Menurutnya, untuk menjadi pemain beyblade yang baik, seseorang perlu menguasai kemahiran, strategi dan refleks, selain mempunyai pengalaman yang mencukupi.

"Dari segi kemahiran, ia melibatkan cara menyusun komponen beyblade serta teknik melancarkannya ke dalam stadium, manakala strategi pula penting dalam menentukan kombinasi paling sesuai ketika berdepan lawan.

"Refleks juga penting kerana setiap lawan mempunyai strategi dan susunan beyblade tersendiri. Kita perlu bertindak pantas dan bijak menyusun strategi untuk melakukan counter terhadap beyblade pihak lawan.

"Selain itu, pengalaman sangat penting kerana jika kita hanya berlatih sesama ahli pasukan, perkembangan pengetahuan mengenai jenis, kombinasi dan teknik melancarkannya akan menjadi sama sahaja," jelasnya.

50 koleksi, 10 Aero Pegasus

Keseriusannya terhadap permainan itu turut dapat dilihat menerusi koleksi yang dikumpul sepanjang penglibatannya dalam dunia beyblade.

Kini, Nur Fadly memiliki lebih 50 unit gasing moden itu termasuk beberapa daripadanya yang disimpan khusus untuk tujuan pameran.

Beyblade UX-00 Aero Pegasus 3-70A berharga RM700 merupakan koleksi yang sukar diperolehi dan hanya dijual melalui aplikasi BeybladeX.

Antara koleksi paling istimewa ialah Aero Pegasus (Red), sejenis beyblade yang menurutnya sukar diperoleh kerana tidak dijual secara biasa di Malaysia.

"Untuk mendapatkannya, perlu melalui aplikasi BeybladeX dan penebusan dibuat di Singapura.

"Saya berjaya mengumpul 10 unit untuk koleksi dan digunakan dalam pertandingan," katanya.

Kesungguhan Nur Fadly terhadap hobi yang dianggap unik itu pada mulanya turut mengundang rasa pelik dalam kalangan rakan-rakannya.

Katanya, tidak ramai yang menyangka permainan gasing moden itu boleh diceburi secara serius sehingga berkembang menjadi sebuah komuniti.

Bagi anak jati Kedah itu, penglibatannya dalam dunia beyblade bukan sekadar untuk mengumpul koleksi atau menyertai pertandingan, sebaliknya mahu melihat sukan berkenaan berkembang lebih jauh, khususnya di kawasan Utara.

Antara koleksi beyblade Nur Fadly Hadi.

Lahir pemain muda

Berkongsi mengenai perancangannya dalam dunia sukan berkenaan, peniaga itu berkata, dia tidak mahu berhenti setakat membina komuniti di Utara.

Antara impiannya adalah melahirkan lebih ramai pemain dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya menerusi kerjasama dengan guru di peringkat daerah.

Pada masa sama, dia turut menyasarkan pasukannya, Clan Inferno Dragoon dibawa bertanding ke Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei.

"Impian utama saya adalah menubuhkan kelab berdaftar Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan ia tercapai pada 17 Ogos 2026 dengan nama Kelab Gasing Utagha.

"Seterusnya saya berhasrat untuk membina komuniti beyblade di Utara, terutama Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Terkini, saya sudah berjaya mengumpulkan seramai 400 orang dalam komuniti ini.

"Saya juga berharap lebih ramai pemain dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menjadikan mereka kurang menggunakan gajet," ujarnya.