JAKARTA - Ribuan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Parlimen di Jakarta pada Khamis, bagi mendesak tindakan lebih tegas terhadap rasuah, termasuk hukuman lebih berat terhadap pegawai yang disabitkan kesalahan.
Demonstrasi itu berlangsung tepat setahun selepas siri bantahan antikerajaan pada Ogos 2025 bertukar menjadi rusuhan yang mengorbankan kira-kira 10 orang dan menyebabkan hampir 7,000 individu ditahan.
Anggota polis antirusuhan mengawal penunjuk perasaan di sebalik pintu pagar kompleks Parlimen yang dikunci sepanjang sebahagian besar hari kejadian.
Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang selepas malam apabila sebahagian penunjuk perasaan membaling objek ke arah anggota polis.
Polis kemudian menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan mereka.
Sebuah pondok polis dan motosikal turut dibakar, manakala beberapa individu dilihat dibawa keluar menggunakan pengusung.
Demonstrasi turut berlangsung di Yogyakarta dan Makassar dengan penyertaan mahasiswa.
Antara tuntutan utama penunjuk perasaan ialah supaya Parlimen segera meluluskan Rang Undang-Undang Pelucutan Aset yang pertama kali dibentangkan pada 2008.
Rang undang-undang itu akan membolehkan kerajaan merampas aset yang mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah.
Sebahagian penunjuk perasaan turut mendesak supaya hukuman mati dikenakan terhadap pegawai yang disabitkan kesalahan rasuah.
Beberapa anggota Parlimen bertemu wakil United Pati Community Alliance (AMPB) di luar kompleks Parlimen dan berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya rang undang-undang berkenaan gagal diluluskan menjelang 15 Disember.
Perkara itu dimaklumkan pemimpin kumpulan berkenaan, Supriyono, selepas pertemuan tersebut.
Sementara itu, kira-kira 200 mahasiswa daripada beberapa universiti turut menyertai demonstrasi bagi mendesak kerajaan menghentikan program makanan percuma di sekolah.
Program berkenaan berdepan dakwaan rasuah serta beberapa kejadian keracunan makanan.
Mereka turut menuntut kerajaan menghentikan apa yang disifatkan sebagai 'militarisasi' masyarakat Indonesia serta menurunkan harga makanan dan barangan keperluan.
"Kami memilih 27 Ogos untuk memperingatinya kerana tahun lalu berlaku rusuhan dan pelbagai insiden lain. Hari ini kami mahu menyampaikan aspirasi, bukan mencetuskan rusuhan," kata wakil mahasiswa kepada Reuters.
Polis dikerah
Polis Jakarta mengerahkan kira-kira 18,500 anggota bagi mengawal keselamatan sepanjang demonstrasi.
Jurucakap Polis Jakarta, Budi Hermanto berkata, 65 individu turut ditahan sebelum perarakan kerana disyaki menjadi pencetus huru-hara.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada kesemua individu yang ditahan terbabit secara langsung dalam demonstrasi tersebut.
Menteri Penyelaras Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago berkata, penempatan anggota keselamatan bukan bertujuan menyekat hak rakyat untuk bersuara.
"Kami akan mengiringi mereka supaya aspirasi mereka dapat disampaikan dengan baik," katanya.
Gelombang bantahan itu mencerminkan kemarahan rakyat terhadap isu rasuah, kos sara hidup dan dasar kerajaan yang turut menjadi pencetus kepada demonstrasi besar-besaran di Indonesia pada tahun lalu. - Agensi