Hong Leong Bank catat untung selepas cukai RM4.53 bilion bagi tahun kewangan 2026

Iklan
Kevin (kiri) ketika pembentangan Laporan FY2026 Hong Leong Bank pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Hong Leong Bank Bhd (HLB) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.53 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan operasi sebelum elaun bagi tempoh sama naik 6.6 peratus kepada RM4.18 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai berkembang 2.2 peratus kepada RM5.48 bilion.

Iklan
Iklan

Jumlah pendapatan bagi tahun kewangan 2026 merekodkan penambahan 4.6 peratus kepada RM6.69 bilion dengan margin faedah bersih (NIM) 1.84 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, prestasi tahun kewangan 2026 didorong oleh pertumbuhan pendapatan berterusan, pengurusan kos strategik dan kualiti aset yang kukuh.

Iklan

"HLB menutup tahun kewangan 2026 dengan prestasi kewangan yang berdaya tahan, mencapai keuntungan selepas cukai RM4.53 bilion," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pertumbuhan keuntungan tersebut turut disokong oleh pengembangan pinjaman dan pembiayaan kasar sebanyak 7.7 peratus kepada RM226.3 bilion, dipacu segmen gadai janji, pembiayaan kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perbankan komersial serta pasaran luar negara.

Iklan

Pinjaman dan pembiayaan domestik berkembang 7.1 peratus, mengatasi pertumbuhan industri sebanyak 5.5 peratus.

Portfolio gadai janji kediaman meningkat 6.6 peratus kepada RM107.1 bilion, manakala pembiayaan kenderaan naik 5.5 peratus kepada RM25.5 bilion.

Dalam segmen perniagaan, pinjaman kepada perusahaan domestik meningkat 7.8 peratus kepada RM76.7 bilion, portfolio pembiayaan PKS pula berkembang 9.9 peratus kepada RM44.6 bilion.

Inisiatif perbankan PKS komuniti pula meningkat 12.9 peratus kepada RM17.1 bilion.

Pada masa sama, HLB mengekalkan kualiti aset yang kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar hanya 0.57 peratus setakat 30 Jun lalu.

Nisbah perlindungan kemerosotan pinjaman berada pada paras 79.5 peratus atau 149.5 peratus selepas mengambil kira nilai sekuriti yang dipegang terhadap pinjaman terjejas kasar.

Mengulas lanjut, Kevin memaklumkan, fokus HLB kekal kepada penyediaan penyelesaian perbankan berorientasikan pelanggan serta memastikan akses pembiayaan berterusan kepada isi rumah dan PKS.

"Kami kekal komited menyediakan inisiatif sokongan yang disesuaikan bagi membantu pelanggan mengharungi keadaan semasa," ujarnya lagi.

Dari segi pendanaan, deposit pelanggan meningkat 5.5 peratus kepada RM252.1 bilion, manakala akaun semasa dan simpanan (CASA) berkembang lebih pantas sebanyak 11.3 peratus kepada RM87.4 bilion sekali gus menaikkan nisbah CASA (34.7 peratus).

Pendapatan bukan faedah turut meningkat 9.3 peratus, disebabkan faktor pengembangan perniagaan pengurusan kekayaan dan jualan francais pasaran global, sekali gus menaikkan nisbah pendapatan bukan faedah kepada 24 peratus.

HLB juga mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan pada 37.6 peratus menerusi integrasi kecerdasan buatan dan pengurusan kos strategik.

Bagaimanapun, pertumbuhan keuntungan sebelum cukai yang sederhana mencerminkan sumbangan keuntungan lebih rendah daripada syarikat sekutu, Bank of Chengdu Co Ltd, selepas pencairan semula jadi pegangan HLB susulan penukaran bon boleh tukar selain kesan terjemahan pertukaran asing akibat ringgit lebih kukuh.

Seiring prestasi berkenaan, lembaga HLB mengisytiharkan dividen akhir 80 sen sesaham.

Ini menjadikan jumlah dividen tahun kewangan 2026 sebanyak RM1.10 sesaham, meningkat 14 sen berbanding tahun sebelumnya.

Nisbah pembayaran dividen turut meningkat kepada 50.4 peratus, sementara bank akan terus mengejar peluang pertumbuhan berlandaskan pengurusan risiko berhemat dan disiplin kunci kira-kira.