PROFEX 2026 himpun golongan profesional pelbagai bidang corak masa depan Malaysia

Iklan
Penganjuran PROFEX 2026 membawa aspirasi besar untuk memastikan kepakaran profesional dimanfaatkan secara lebih meluas demi pembangunan negara.

MALAYSIA bakal menyaksikan satu detik bersejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Patron Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) akan hadir dan merasmikan Professional Conference & Exhibition (PROFEX) 2026 pada 29 September depan.

Beliau turut dijadual membuat pengumuman bersejarah mengenai Hari Ikhtisas Malaysia yang dijangka menjadi satu perkembangan penting dalam usaha mengiktiraf sumbangan golongan profesional kepada pembangunan negara serta memperkukuh peranan profesion dalam membentuk Malaysia yang lebih berdaya tahan, berintegriti, inovatif dan berpandangan jauh.

Iklan
Iklan

29 September 2026 turut bakal menjadi tarikh penting kepada komuniti profesional negara apabila Hari Profesional Malaysia dicadangkan sebagai satu hari khusus untuk mengiktiraf sumbangan dan peranan golongan profesional dalam pembangunan ekonomi, sosial dan negara secara keseluruhannya.

Pengerusi Penganjur PROFEX 2026, Andrew Tan berkata, kehadiran dan sokongan Perdana Menteri sebagai Patron BIM serta kesediaan beliau merasmikan PROFEX 2026 merupakan satu penghormatan besar kepada komuniti profesional Malaysia.

Iklan

“Lebih penting lagi, pengumuman Hari Ikhtisas Malaysia pada 29 September akan menjadi satu detik bersejarah yang mengiktiraf sumbangan golongan profesional dalam pembangunan negara.

"Kami percaya masa depan Malaysia tidak boleh dibentuk oleh satu sektor atau satu profesion sahaja.

Iklan

"Sama ada dalam aspek kesihatan, transformasi digital, pembangunan mampan, infrastruktur, ekonomi mahupun pembangunan modal insan, kejayaan hanya dapat dicapai apabila pelbagai profesion berganding bahu, berkongsi kepakaran dan menghasilkan penyelesaian secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, bagi menggalakkan pembangunan modal insan secara berterusan, yuran penyertaan persidangan PROFEX 2026 boleh dituntut melalui HRD Corp di bawah skim SBL Khas, sekali gus membolehkan majikan memanfaatkan levi latihan HRD Corp untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran tenaga kerja mereka.

"Status tuntutan HRD Corp menjadikan PROFEX satu pelaburan yang bernilai kepada organisasi.

“Peserta bukan sahaja dapat menimba ilmu daripada tokoh-tokoh profesional, malah berpeluang membina rangkaian strategik serta memperoleh perspektif baharu merentas pelbagai bidang profesional,” katanya.

Sebagai persidangan dan pameran pelbagai profesion yang pertama seumpamanya di Malaysia, PROFEX 2026 anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM), ia bakal berlangsung pada 29 hingga 30 September 2026 di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur, dengan tema"Uniting Professions, Transforming Malaysia's Future."

Ia bakal menghimpunkan profesional pelbagai bidang termasuk kesihatan, kejuruteraan, seni bina, sains, teknologi, undang-undang, kewangan, perniagaan, pengurusan alam sekitar, logistik dan pelbagai disiplin profesional lain.

Negara kini berdepan pelbagai cabaran baharu yang semakin kompleks, merangkumi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, kesihatan awam, pembangunan mampan, kesiapsiagaan tenaga kerja, tadbir urus serta kesejahteraan masyarakat.

Cabaran-cabaran ini saling berkait dan tidak lagi boleh diselesaikan oleh satu profesion secara bersendirian.

Menyedari keperluan untuk memperkukuh kerjasama merentas bidang profesional, PROFEX 2026 diwujudkan sebagai sebuah platform nasional yang menghimpunkan golongan profesional, pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik, pelajar dan masyarakat umum bagi berkongsi ilmu, menjalin kerjasama strategik serta membincangkan penyelesaian kepada isu-isu yang membentuk masa depan negara.

Sepanjang dua hari penganjuran, persidangan ini akan menampilkan tokoh profesional dan pemimpin industri yang akan membincangkan pelbagai isu strategik yang memberi kesan kepada masa depan negara, antaranya Kecerdasan Buatan (AI) dan Transformasi Digital, Masa Depan Amalan Profesional serta Pembangunan Tenaga Kerja, Kesihatan, Kesejahteraan dan Masyarakat Menua, Daya Tahan Iklim dan Pembangunan Mampan, Perumahan Mampu Milik serta Bandar yang Lestari, Kerjasama Awam-Swasta dalam Pembangunan Negara, Etika, Tadbir Urus dan Kepercayaan Awam serta Pembangunan Bakat Masa Hadapan Malaysia

Antara penceramah yang mengesahkan penyertaan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab, yang akan berkongsi pandangan mengenai transformasi sistem kesihatan negara, serta Presiden AIAC Court of Arbitration, Datuk Mary Lim yang akan menyampaikan perspektif berkaitan tadbir urus, penyelesaian pertikaian dan landskap profesional yang semakin berkembang.

Selain persidangan, PROFEX 2026 turut menampilkan pameran interaktif yang dijangka menarik lebih 3,000 pengunjung serta membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali dunia profesional dengan lebih dekat.

Salah satu tarikan utama ialah inisiatif"Meet the Professionals", yang memberi peluang kepada orang ramai berinteraksi secara langsung dengan golongan profesional daripada pelbagai bidang untuk mendapatkan panduan umum mengenai isu-isu yang sering dihadapi dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, pemilik rumah yang berdepan masalah keretakan atau kerosakan struktur boleh mendapatkan penjelasan awal daripada jurutera, arkitek atau profesional bangunan mengenai kemungkinan punca kerosakan serta tindakan yang wajar diambil.

Mereka yang mempunyai persoalan berkaitan kesihatan pula boleh berinteraksi dengan doktor dan profesional kesihatan bagi mendapatkan maklumat umum mengenai perkhidmatan kesihatan dan langkah seterusnya yang sesuai.

Pengunjung juga boleh mendapatkan pendedahan mengenai proses perundangan, literasi kewangan, kelestarian alam sekitar, pemilikan hartanah serta pelbagai isu lain yang berkaitan dengan kehidupan harian.

Bagi pelajar dan golongan muda, PROFEX menyediakan ruang meneroka pelbagai pilihan kerjaya secara lebih mendalam melalui interaksi bersama profesional yang berpengalaman.

Sebagai contoh, pelajar yang bercita-cita menjadi doktor boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai bidang kepakaran perubatan, laluan pendidikan, tempoh latihan serta realiti kerjaya dalam bidang tersebut sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju masa depan mereka.

Peluang yang sama turut disediakan bagi pelbagai profesion lain. Pameran ini juga akan mengetengahkan teknologi terkini, produk inovatif serta perkhidmatan profesional, di samping membuka ruang kepada syarikat dan organisasi untuk membina jaringan kerjasama, meneroka peluang perniagaan dan mengenal pasti trend baharu dalam pelbagai sektor.

Jelas Andrew lagi, elemen penglibatan masyarakat inilah yang membezakan PROFEX daripada persidangan atau pameran perdagangan yang lazim dianjurkan.

"PROFEX bukan sekadar platform untuk profesional bertemu profesional. Kami mahu membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali profesion dengan lebih dekat.

“Sama ada pelajar yang sedang merancang masa depan, ibu bapa yang ingin mendapatkan panduan, usahawan yang mencari perspektif profesional atau orang awam yang mempunyai persoalan berkaitan kehidupan seharian, PROFEX menyediakan peluang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan golongan profesional,” katanya.

Tidak ketinggalan, pihaknya berharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat, menyemai minat generasi muda terhadap kerjaya profesional serta mengukuhkan keyakinan terhadap peranan profesion dalam pembangunan negara.

"Satu Langkah Ke Hadapan Untuk Komuniti Profesional Malaysia Dengan kehadiran Perdana Menteri dan pengumuman Hari Profesional Malaysia, PROFEX 2026 dijangka menjadi lebih daripada sekadar sebuah persidangan dan pameran.

“Ia bakal menjadi titik pertemuan antara profesion, kerajaan, industri, akademia dan masyarakat, serta menyediakan ruang untuk komuniti profesional Malaysia menyatukan suara, berkongsi kepakaran dan memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk masa depan negara.

PROFEX 2026 dijangka menghimpunkan 500 peserta persidangan serta lebih 3,000 pengunjung pameran, sekali gus menjadikannya antara platform terbesar yang menghimpunkan pelbagai profesion di bawah satu pentas bagi memupuk kerjasama, inovasi dan perkongsian ilmu.

Ia juga membawa aspirasi lebih besar untuk memastikan kepakaran profesional tidak hanya berada dalam lingkungan bidang masing-masing, sebaliknya dimanfaatkan secara lebih meluas demi kepentingan masyarakat dan pembangunan negara.