Masyarakat majmuk kepada superdiversity

Iklan
PERBEZAAN kaum tidak menyebabkan berbalah, sebaliknya kita boleh hidup dalam harmoni. Foto Canva/Gambar kecil: DR KHAIRUL HAMIMAH (atas) dan DR ZAIZUL

ALLAH SWT ciptakan manusia pelbagai bangsa supaya saling mengenali, bukan berpecah-belah

SETIAP kali tibanya bulan Ogos, Jalur Gemilang akan berkibar dengan megah dan kita semua berhimpun sebagai satu bangsa yang terdiri daripada pelbagai etnik di bawah satu bendera yang sama.

Namun pernahkah kita terfikir, bagaimana masyarakat yang begitu berbeza ini akhirnya boleh hidup bersama?

Iklan
Iklan

Sebenarnya, perpaduan yang kita nikmati hari ini bukan sesuatu yang datang dengan mudah. Ia adalah hasil satu perjalanan panjang, bermula daripada masyarakat yang pernah hidup terpisah.

Hidup dalam dunia berbeza

Iklan

Pada zaman penjajahan British, setiap kaum disusun mengikut tempat dan tugas masing-masing iaitu orang Melayu di kampung sebagai petani dan nelayan, kaum Cina di lombong dan bandar manakala bangsa India pula di ladang getah.

Anak anak mereka juga bersekolah di sekolah yang berasingan dengan bahasa yang berbeza, sehingga setiap kaum membesar dalam kelompok sendiri tanpa banyak peluang untuk saling mengenali.

Iklan

Mereka tinggal di negeri yang sama, namun hidup dalam dunia yang berbeza.

Titik perubahan

Keadaan ini kemudiannya diuji pada 13 Mei 1969, apabila ketegangan antara kaum meletus menjadi rusuhan. Peristiwa itu menyedarkan semua pihak bahawa hubungan antara kaum perlu dibina dengan lebih rapat.

KEAMANAN yang dikecapi hari ini perlu diwarisi kepada generasi akan datang. Foto Canva

Daripada kesedaran itulah bermula satu perjalanan baharu. Pada 31 Ogos 1970, tepat pada ulang tahun ketiga belas kemerdekaan, Rukun Negara diisytiharkan sebagai pegangan bersama seluruh rakyat.

Selepasnya, pelbagai dasar diperkenalkan untuk membuka peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan kepada semua kaum.

Mula hidup bersama

Perlahan-lahan kehidupan rakyat mula berubah. Anak-anak pelbagai kaum kini duduk di dalam kelas dan bertutur dalam satu bahasa yang sama.

Bandar yang membangun menarik penghijrahan dari kampung dan ladang, sehingga kawasan perumahan menjadi tempat pelbagai kaum tinggal berjiran.

Budaya rumah terbuka pula menjadi simbol bahawa perbezaan tidak lagi menjadi dinding pemisah, sebaliknya menjadi tiket untuk saling mengenali. Inilah yang membezakan masyarakat kepelbagaian daripada masyarakat majmuk.

Kita bukan lagi sekadar tinggal bersama, tetapi mula benar-benar hidup bersama.

Wajah masyarakat hari ini

Perjalanan ini tidak berhenti di situ. Hari ini, masyarakat kita semakin rencam, memasuki peringkat yang dikenali sebagai superdiversity iaitu kepelbagaian dalam kepelbagaian.

PENINGKATAN pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian di Malaysia menambah rencam kepelbagaian di negara ini. Foto Canva

Cuba perhatikan suasana di dalam sebuah pusat beli-belah pada hujung minggu. Seorang pekerja asing melayan pelanggan dengan bahasa Melayu. Berhampirannya seorang pelajar antarabangsa sedang memilih barang sambil berbual dalam bahasa ibundanya.

Suasana yang sama turut kelihatan di kampus universiti. Pelajar tempatan berkongsi dewan kuliah dan projek berkumpulan dengan rakan yang mungkin dari Yaman, Nigeria dan China, lalu belajar memahami bahasa, makanan dan adat masing masing.

Dunia digital menambah lagi lapisan ini. Seorang remaja di Kedah mungkin lebih mengenali budaya Korea menerusi muzik dan drama berbanding budaya negara jirannya Thailand.

Anak-anak muda pelbagai kaum pula berkawan dan bermain permainan video bersama dalam satu ruang digital yang sama, tanpa terikat kepada sempadan kaum seperti dahulu.

KITA berbangga mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali tibanya bulan kemerdekaan. Foto Canva

Kekuatan, bukan kelemahan

Perjalanan daripada terpisah kepada superdiversity ini menunjukkan satu perkara. Masyarakat kita sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

"Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)." (Surah al-Hujurat: 13)

Apa yang penting dalam setiap perubahan itu, semangat saling memahami dan menghormati perlu terus dijaga, supaya kepelbagaian yang semakin rencam ini kekal menjadi kekuatan dan bukannya kelemahan.

***PROF MADYA DR KHAIRUL HAMIMAH MOHAMMAD JODI merupakan Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Open Universiti Malaysia PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia