BSN rai 69 usahawan mikro sempena Hari Kebangsaan

Iklan
Amir Hamzah (tengah) bergambar pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menerusi kempen “Cerita Mereka, Jiwa Malaysia” di Wisma BSN, Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama

BANK Simpanan Nasional (BSN) melabuhkan tirai kempen Cerita Mereka, Jiwa Malaysia menerusi penganjuran Karnival BSN Mikro MADANI di Wisma BSN pada Jumaat, sekali gus meraikan 69 usahawan mikro sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Kempen yang berlangsung sepanjang Ogos, mengetengahkan kisah keazaman dan ketabahan rakyat Malaysia membina sumber pendapatan melalui perniagaan, di samping mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Iklan
Iklan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kejayaan usahawan mikro wajar diraikan kerana menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat untuk menceburi bidang keusahawanan.

Menurutnya, kisah perjalanan usahawan mikro BSN adalah kejayaan yang wajar diraikan agar dapat terus menjadi inspirasi untuk usahawan lain.

Iklan

"Kejayaan mereka ini mewakili hampir 180,000 usahawan mikro BSN, yang membuktikan komitmen BSN untuk terus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara.

"Usahawan mikro adalah nadi pembangunan ekonomi negara yang melambangkan semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

Iklan

"Dengan pelbagai sokongan dan inisiatif kerajaan, saya yakin usaha-usaha ini dapat membantu mereka membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya sempena karnival berkenaan.

Dalam pada itu, sempena karnival tersebut, seramai 69 usahawan mikro daripada pelbagai latar belakang dan budaya dipilih sebagai wajah kempen tahun ini, melambangkan kepelbagaian landskap perusahaan mikro negara yang disatukan oleh keberanian untuk membina masa depan lebih baik.

Selain pameran produk usahawan, karnival berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti menerusi program literasi kewangan khusus untuk usahawan orang kurang upaya (OKU) di bawah MyOKU Preneur serta usahawan desa daripada KEMAS, Khadijah Artisans dan USAHANITA.

Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, sokongan bank terhadap usahawan mikro melangkaui aspek pembiayaan semata-mata.

Katanya, menerusi kempen berkenaan, BSN meraikan kisah-kisah usahawan serta impak positif yang dapat dihasilkan melalui keusahawanan dalam komuniti.

"Di BSN, sokongan kami tidak terhad kepada pembiayaan semata-mata. Kami mahu melangkah seiring bersama usahawan dalam perjalanan mereka membina perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti di sekeliling mereka,” katanya.

Tambah beliau, hampir 5,000 cup sleeve edisi khas bertemakan batik turut diedarkan oleh usahawan yang menyertai kempen kepada pelanggan di seluruh negara.

Katanya, rekaan tersebut dihasilkan oleh pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang merupakan Sekolah Angkat MADANI BSN 2025.

"inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan keusahawanan dan kreativiti, malah membuka ruang kepada para pelajar untuk berkongsi bakat serta hasil usaha mereka dengan masyarakat," katanya.