Ilmu, adab teras pembentukan generasi hebat Malaysia – Anwar

Iklan
Anwar dan Fadhlina dalam Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di IPG Kampus Tuanku Bainun pada Jumaat.

BUKIT MERTAJAM- Pendidikan bukan sekadar mencungkil bakat dan menyampaikan ilmu sebaliknya perlu membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis, berani mengemukakan pandangan serta mempunyai adab dan akhlak yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ilmu tanpa adab tidak mampu mengangkat martabat manusia malah boleh menjejaskan pembentukan peradaban sesebuah negara.

Iklan
Iklan

“Kita tidak mahu negara itu menggapai di langit tetapi nilai kemanusiaannya tragis. Kalau dia kaya, dia buli orang miskin. Kalau dia berilmu, dia membodohkan yang di bawah.

“Sebab itu kita angkat nilai kemanusiaan. Kita mahu ilmu dan adab digabungkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tunku Bainun, di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Menurut Anwar, kemajuan teknologi seperti teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) membuka ruang ilmu baharu yang mencabar guru, pensyarah serta pelajar untuk meneroka bidang dan pemikiran baharu.

Iklan

Katanya, dalam usaha melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara hebat, aspek ilmu perlu bergerak seiring dengan pembentukan budi pekerti dan nilai kemanusiaan.

“Kalau negara ini mahu diangkat sebagai negara hebat, saya yakin anak-anak mesti percaya bahawa Malaysia ini negara hebat dan gagah.

“Daripada mana hebatnya? Darpada ilmu, daripada budi pekerti. Ini digabungkan sebagai ilmu dan adab,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan semangat kemerdekaan tidak seharusnya hanya diterjemahkan melalui kebebasan negara daripada penjajahan sebaliknya perlu merangkumi kebebasan pemikiran dan jiwa.

“Pemikiran kita juga mesti merdeka. Jangan fikiran lapuk, menghina orang kerana warna kulit atau budaya yang asing. Itu tidak merdeka.

“Negeri harus merdeka, tetapi jiwa, pemikiran juga harus merdeka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar supaya mengambil serius peranan mereka dalam menentukan masa depan negara dengan memanfaatkan peluang pendidikan yang diberikan.

Katanya, peluang pendidikan perlu dinikmati semua golongan tanpa mengira kaum, latar belakang ekonomi atau lokasi, termasuk masyarakat desa, pedalaman dan miskin bandar.

“Jangan remehkan peranan sesiapa. Anak-anak yang ada di sekolah sekarang, di Institut Pendidikan Guru, tingkatan enam, jangan lupa, ada peranan yang besar.

“Belajar dengan sungguh-sungguh, hormat ibu bapa, hormat guru dan pensyarah serta jalin hubungan kasih sayang antara kita,” katanya.

Anwar turut mengingatkan supaya budaya buli, kesombongan dan tindakan merendahkan orang lain tidak mendapat tempat dalam institusi pendidikan.

“Kita mesti bentuk adab. Peradaban apa? Akhlak kita nak jaga. Yang penting ilmu dan akhlak,” katanya.

Beliau berkata, isu salah laku oleh segelintir pelajar tidak seharusnya menenggelamkan kejayaan majoriti pelajar yang menunjukkan sikap dan pencapaian positif.

“Kadang-kadang kita baca ada 1,000 pelajar dalam satu sekolah, yang teruk buli empat orang. Dalam media, cerita empat orang, tetapi tidak cerita 996 orang itu.

“Bukan maksud saya hendak membesarkan cerita empat orang itu tetapi kita mesti bawa budaya baharu,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menyeru pelajar menghayati semangat kemerdekaan dan bulan Maulidur Rasul dengan mengamalkan sikap saling menghormati tanpa mengira perbezaan warna kulit, kaum, budaya dan agama.

“Tidak ada ajaran agama yang menghina orang. Kita kenal dan hormat satu sama lain.

“Tidak semestinya kita terima agama dia tetapi tidak ada alasan untuk menghina orang,” katanya.