MAPIM gerak misi kemanusiaan bantu bencana di Nepal

Iklan
Sukarelawan menggunakan jentolak untuk membersihkan lumpur dan serpihan di sepanjang jalan susulan banjir kilat di Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal. Foto AFP (Gambar kecil: Mohd Azmi)

IPOH - Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menggerakkan misi kemanusiaan ke Nepal susulan bencana banjir besar yang meragut banyak nyawa dan menyebabkan ratusan mangsa masih hilang.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menghubungi Kedutaan Nepal di Malaysia pada Khamis bagi menyampaikan ucapan takziah susulan bencana yang melanda kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, sekurang-kurangnya 300 mangsa telah disahkan terkorban, manakala lebih 1,000 lagi masih dilaporkan hilang dan angka korban dijangka terus meningkat.

"Daripada situ, dalam tempoh yang sangat cepat, kita akan cuba memberikan bantuan sedaya upaya kerana keperluan utama yang dimaklumkan ialah ubat-ubatan, kemudian makanan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohd Azmi berkata, MAPIM turut mempunyai jaringan dengan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Nepal yang bersedia membantu melaksanakan operasi bantuan di kawasan paling teruk terjejas.

Menurutnya, misi penilaian awal itu dijangka disertai empat sukarelawan MAPIM, selain pihaknya akan mengundang NGO lain termasuk Malaysia for Humanitarian Aid and Relief (MyCARE) untuk menyertai misi berkenaan.

Iklan

"MAPIM akan menghantar empat orang untuk tinjauan awal, tetapi kita juga mengundang NGO-NGO lain untuk bersama dalam misi ini. Selepas itu masing-masing mungkin akan mempunyai misi bantuan tersendiri.

"Kita sasarkan untuk pergi antara 31 Ogos hingga 5 September, dan paling lewat pada 5 September. Kita ada penerbangan terus dari Malaysia ke Kathmandu," katanya.

Mengulas mengenai keadaan di Kathmandu, Mohd Azmi berkata, kawasan itu turut terkesan akibat bencana berkenaan namun maklumat mengenai lokasi yang mengalami kemusnahan teruk serta keperluan mangsa kini mula diperoleh.

Katanya, misi tersebut bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan malah sebagai tanda solidariti Malaysia terhadap rakyat Nepal yang berdepan bencana.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MAPIM turut mengambil perhatian terhadap laporan mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan di Nepal.

"Setakat semalam, dilaporkan 15 rakyat Malaysia masih cuba dikesan. Saya tidak tahu sama ada Kementerian Luar juga sudah mendapatkan maklumat, tetapi kita akan cuba membantu apa yang boleh termasuk mendapatkan lokasi mereka dan bagaimana untuk membawa mereka pulang," katanya.

Mohd Azmi berkata, pihaknya juga akan memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai perancangan misi kemanusiaan MAPIM ke Nepal yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh seminggu akan datang.