‘Permudahkanlah urusan, kuatkanlah mereka’ – Keluarga harap dapat bertemu semula mangsa banjir Nepal

Iklan
Kumpulan pendaki Malaysia yang gagal dihubungi selepas bencana banjir di Nepal.

SHAH ALAM – Ahli keluarga mangsa yang dilaporkan gagal dihubungi selepas banjir kilat melanda Nepal berharap agar mereka dapat dipertemukan semula dalam keadaan selamat.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna akaun Syahirah.ak meluahkan kebimbangan terhadap nasib bapa saudaranya, Mohd Sani Harul serta seluruh pasukan LOE yang masih gagal dihubungi selepas dipercayai berada di kawasan terjejas.

Iklan
Iklan

Dia berkata, keluarga hanya mampu bergantung harap kepada perlindungan ALLAH agar kesemua mereka selamat dan dipertemukan semula dengan keluarga.

"Kami mohon agar engkau melindungi Paksu Sani dan seluruh team LOE di mana sahaja mereka berada.

Iklan

"Permudahkanlah urusan mereka, kuatkanlah mereka dan pertemukanlah mereka kembali dengan keluarga dalam keadaan selamat, sihat dan baik-baik sahaja," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga, Nafeeznohan turut memohon orang ramai agar mendoakan keselamatan ayahnya, Mohd Nohan Salim serta pasukan yang bersamanya.

Iklan

Menurutnya, situasi kehilangan hubungan komunikasi dengan ayah sendiri bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi, lebih-lebih lagi ketika kawasan berkenaan sedang dilanda bencana.

“Siapa tak sebak tengok ayah sendiri lost contact? Mohon doakan keselamatan Mohd Nohan Salim dan the team.

“Semoga selamat dan sihat. Aamiin,” katanya.

Sebelum ini, banjir yang dicetuskan oleh limpahan Sungai Bhote Koshi itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.