PORT DICKSON - Kegiatan memindahkan gas petroleum cecair (LPG) ke tong komersial atau 'decanting' di sebuah premis kawasan perindustrian kecil di daerah ini terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, pada Khamis.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, sebanyak 1,080 LPG pelbagai kapasiti telah dirampas.
Pengarah KPD Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan dilakukan susulan hasil pemantauan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa yang mendapati berlaku aktiviti penyelewengan barang kawalan LPG.
"Serbuan kemudiannya dilakukan dan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an telah ditahan di lokasi untuk tindakan lanjut.
"Pemeriksaan turut menemukan sebanyak 1,080 tong LPG pelbagai kapasiti serta sebuah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM300,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"KPDN Negeri Sembilan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan, khususnya LPG,"katanya.
Tegas beliau, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan sentiasa mencukupi dan dapat dinikmati oleh pengguna pada harga serta saluran yang terkawal," katanya.