Aset rizab antarabangsa Malaysia berjumlah AS$132.07 bilion setakat akhir Julai 2026

Iklan
Aset rizab antarabangsa Malaysia berjumlah AS$132.07 bilion setakat akhir Julai 2026.

ASET rizab antarabangsa Malaysia berjumlah AS$132.07 bilion (AS$1 = RM4.02), manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$368.50 juta setakat akhir Julai 2026, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu memaklumkan perincian terperinci rizab antarabangsa menyediakan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing yang lain, selaras dengan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, BNM memaklumkan pecahan terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF itu menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna setakat akhir Julai 2026.

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, menurut BNM aliran keluar jangka pendek yang telah ditentukan bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, yang antara lain merangkumi bayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing berjumlah AS$8.31 bilion.

Iklan

"Jumlah kedudukan hadapan bersih jualan singkat ialah AS$26.90 bilion setakat akhir Julai 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” tambahnya.

Selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data berkenaan tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Iklan

BNM menambah unjuran aliran mata wang asing itu berjumlah AS$3.06 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat itu memaklumkan satu-satunya aliran bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing adalah jaminan kerajaan bagi hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$1.23 bilion.

"Tiada pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, tiada kemudahan kredit tanpa syarat yang belum dikeluarkan yang disediakan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

"Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” tambahnya lagi. - Bernama