SEREMBAN - Penglibatan pelajar dalam Program Malaysia #QuranHour adalah antara platform terbaik dalam memupuk budaya membaca al-Quran dalam generasi muda.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sheikh Ahmad, Datin Ramadhawati Wahab berkata, ia bukan sekadar program semata-mata, sebaliknya turut mengajak masyarakat untuk memahami isi kandungan al-Quran yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.
"Marilah kita menjadikan program ini untuk meningkatkan hubungan kita dengan al-Quran. Jadikan program ini sebagai titik permulaan untuk membaca al-Quran. Bukalah al-Quran walaupun hanya satu muka surat.
Menurutnya, al-Quran mengandungi pedoman yang amat luas untuk membentuk manusia yang beriman, berakhlak dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Tambahnya, dunia pendidikan hari ini bukan sekadar mahu melahirkan generasi yang cemerlang dari segi pencapaian akademik, tetapi turut membentuk generasi ulul albab.
"Sekolah merupakan institusi penting dalam membentuk generasi masa hadapan. Guru bukan sekadar bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan, malah bertanggungjawab membentuk sahsiah dan akhlak murid.
"Dalam hal ini, penghayatan terhadap al-Quran perlu menjadi sebahagian budaya dalam kehidupan di sekolah dan pada masa diperkukuhkan pegangan agama agar tidak terjerumus dalam kancah tidak bermoral," katanya,
Selain itu ujarnya, penganjuran program tersebut sempena Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini juga amat bertepatan dalam mengajak masyarakat memahami intipati erti kemerdekaan dalam membangunkan sebuah negara berdasarkan prinsip al-Quran.
Sementara itu, Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris yang hadir merasmikan program berkenaan menyambut baik penganjuran program berkenaan dan melihatnya sebagai platform terbaik dalam membudayakan pembacaan al-Quran dalam kalangan umat Islam.
"Tapi apabila kita nak mempergiatkannya, sebaiknya ia bermula dari bawah. Seperti pepatah mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu jugalah apabila kita nak jadikan membaca al-Quran ini sebagai satu amalan perlu bermula seawal usia," katanya.
Program berkenaan melibatkan lebih 1,000 pelajar dan Ibu bapa selain turut dihadiri Rumah Ngaji Negeri Sembilan yang penyelaras ya, Gharizah Hashim.