Fraser Residence Putrajaya tampil konsep kediaman servis tepi tasik

Iklan

KEDUDUKAN strategik di pinggir Tasik Putrajaya dengan pemandangan mendamaikan menjadi antara tarikan Fraser Residence Putrajaya yang menawarkan pengalaman penginapan berkonsep kediaman servis moden kepada keluarga, golongan profesional dan pengembara perniagaan.

Terletak dalam pembangunan bersepadu TERRA di Presint 8, kediaman servis berkenaan membawa pendekatan yang menggabungkan keselesaan ala resort, reka bentuk kontemporari dan suasana kediaman yang lebih santai di tengah-tengah pusat pentadbiran negara.

Iklan
Iklan

Fraser Residence Putrajaya yang mula dibuka secara berperingkat pada Ogos ini merupakan hartanah terbaharu di bawah Frasers Hospitality, sekali gus menandakan kemunculan pertama jenama Fraser Residence di Malaysia.

Ruang lobi Fraser Residence Putrajaya.

Iklan

Ia menawarkan 283 unit apartmen servis menerusi empat kategori bilik dan sembilan jenis susun atur, daripada Studio sehingga unit Three-Bedroom Lakeview with Balcony yang menghadap Tasik Putrajaya.

Naib Presiden Kanan Serantau Asia Tenggara dan Australia Frasers Hospitality, Vernon Lee berkata, pembukaan Fraser Residence Putrajaya merupakan pencapaian penting bagi syarikat itu di Malaysia.

Iklan

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan memperkenalkan standard kediaman servis kami kepada keluarga serta golongan profesional yang menjadikan bandar ini sebagai kediaman mereka sama ada untuk tempoh panjang atau kunjungan singkat,” katanya.

Fraser Residence Putrajaya merupakan sebahagian daripada TERRA, pembangunan bercampur bersepadu pertama di pesisir Putrajaya yang dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH), pemaju induk Putrajaya dan anak syarikat KLCC (Holdings) Sdn Bhd.

Dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 4.65 hektar di Presint 8, TERRA menggabungkan pelbagai komponen dalam satu ekosistem gaya hidup di tepi tasik.

Selain Fraser Residence Putrajaya, pembangunan itu merangkumi kondominium premium sebanyak 348 unit, pusat beli-belah komuniti berkeluasan 170,000 kaki persegi dan dewan acara seluas 35,000 kaki persegi yang mampu menempatkan sehingga 700 orang.

Konsep tersebut membolehkan penghuni dan pengunjung menikmati kemudahan kediaman, membeli-belah, acara serta hospitaliti dalam satu kawasan yang saling berhubung.

TERRA turut menerima pengiktirafan sebagai Best Waterfront High-Rise Development 2025 pada PropertyGuru Asia Property Awards (Malaysia), mencerminkan aspirasi pembangunan berkenaan dalam membentuk landskap dan komuniti baharu Putrajaya.

Mesra keluarga

Bagi keluarga yang memilih penginapan lebih lama, Fraser Residence Putrajaya menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bilik permainan keluarga, bilik permainan kanak-kanak, gimnasium lengkap dan kolam renang.

Golongan profesional dan pengembara korporat pula boleh menggunakan empat ruang mesyuarat yang disediakan untuk mesyuarat, pembentangan dan acara berskala kecil.

Keistimewaan utama kediaman servis itu tentunya lokasinya yang menghadap Tasik Putrajaya dan suasana tepian air yang tenang memberi peluang kepada tetamu menikmati sisi Putrajaya yang berbeza daripada imejnya sebagai pusat pentadbiran kerajaan.

Pengalaman itu turut diperkukuh menerusi dua pilihan sajian iaitu Relish dan Lakeside Café.

Kehadiran Fraser Residence Putrajaya juga seiring dengan perkembangan bandar itu sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan.

Fraser Residence Putrajaya menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bilik permainan keluarga.

Putrajaya yang dibangunkan berkonsepkan bandar dalam taman mempunyai kelebihan tersendiri menerusi seni bina ikonik, kawasan hijau terancang serta Tasik Putrajaya dan rangkaian laluan air yang membentuk identiti bandar berkenaan.

Antara lokasi tarikan ialah Masjid Putra dengan kubah merah jambu yang menjadi antara mercu tanda paling dikenali di Putrajaya.

Pengunjung juga boleh meneroka Taman Botani Putrajaya dan Taman Warisan Pertanian yang menempatkan lebih 170 spesies tumbuhan dan flora.

Tasik Putrajaya pula membuka ruang kepada pelbagai aktiviti rekreasi termasuk berjalan kaki di sepanjang persiaran, menaiki bot dan berkayak.

Bagi sektor pelancongan perniagaan dan acara, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menjadi antara kemudahan utama bandar itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Putrajaya sebagai destinasi yang menggabungkan urusan rasmi dan riadah.

Ekosistem TERRA dijangka terus berkembang dengan pembukaan pusat beli-belah selain Terra Acara, sebuah dewan konvensyen berkapasiti 1,000 tempat duduk yang dijadualkan dibuka pada 2027.