KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu perlu memenangi sekurang-kurangnya majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang sekiranya memilih untuk bergerak solo dan menawan semula negeri itu.
Penganalisis Politik, Dr Azrie Azeh berkata, sasaran angka berkenaan bukan sekadar retorik politik, sebaliknya satu bentuk transformasi mendalam yang menuntut penukaran sokongan rakyat (electoral conversion) kepada kemenangan mutlak di kawasan DUN ditandingi.
Beliau menjelaskan, walaupun keputusan PRN15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) sapu bersih kesemua 32 kerusi DUN dengan perolehan 473,027 undi atau 68.5 peratus, UMNO-BN sebenarnya masih memiliki asas sokongan tegar yang signifikan menerusi 197,972 undi atau 28.7 peratus.
"Keputusan PRN15 membuktikan margin kemenangan PN tidak seragam. DUN Telemung contohnya mencatatkan majoriti sangat tipis iaitu 295 undi, selain Bandar (2,364), Langkap (2,734), Seberang Takir (2,797) dan Hulu Besut (2,860)," katanya) kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas beliau, beberapa kerusi lain seperti Bukit Besi, Kijal, Kota Putera, Kuala Besut, Ladang, Jabi dan Jertih turut menunjukkan ruang pertandingan yang amat kompetitif dengan margin sekitar 3,700 hingga 4,700 undi.
Namun katanya, untuk mencapai angka 17 kerusi, UMNO tidak boleh sekadar bergantung kepada kerusi marginal, sebaliknya perlu berusaha menembusi kawasan berkubu kuat seperti Kuala Berang, Ajil, Kemasik dan Pengkalan Berangan.
Mengulas lanjut, Dr Azrie berkata lanskap politik 2026 menyaksikan struktur kebal PN mula berdepan cabaran berikutan beberapa perkembangan baharu, antaranya peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN pada awal tahun ini serta keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu pada Jun lalu.
"Perkembangan ini mewujudkan 'coordination' uncertainty atau ketidakpastian koordinasi terutamanya di lima kerusi DUN yang dimenangi calon Bersatu atas tiket PN sebelum ini iaitu Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemung dan Kijal.
"Bagaimanapun, kehilangan sokongan terhadap Bersatu tidak bermakna undi berkenaan akan berpindah secara automatik kepada UMNO. Risiko terbesar PN ketika ini adalah kehilangan koordinasi jentera, bukannya kehilangan undi secara mendadak," ulas beliau.
Justeru, beliau berkata, bagi memastikan sasaran 17 kerusi menjadi kenyataan dan bukan sekadar aspirasi, beliau menegaskan UMNO perlu beralih daripada sekadar meningkatkan sokongan kepada keupayaan menukar sokongan kepada kemenangan kerusi.
Jelasnya, strategi tersebut meliputi pembinaan peta kemenangan berasaskan data, mengetengahkan calon yang mempunyai kebolehmenangan serta pengaruh peribadi (personal vote), dan mengalihkan naratif politik daripada isu identiti kepada penyelesaian masalah ekonomi tempatan seperti kos sara hidup, peluang kerja, banjir serta infrastruktur.
Pada masa sama, ujarnya, jentera akar umbi perlu diperkukuh bagi memastikan kecekapan membawa pengundi tegar hadir mengundi, selain mengelakkan sikap terlalu bergantung kepada kelemahan atau pergolakan parti lawan.
"Bergerak solo memperjelas identiti dan kekuatan sebenar jenama UMNO. Namun, solo dalam pilihan raya tidak bermakna menyendiri dari segi sokongan. UMNO perlu inklusif dengan mendekati pengundi muda dan pengundi atas pagar menerusi tawaran politik yang padu.
"Secara matematik, 17 kerusi DUN untuk UMNO Terengganu adalah tidak mustahil, namun secara empirikal ia bergantung sejauh mana parti itu mampu menterjemahkan asas sokongan menjadi geografi kemenangan sebenar," katanya.