Tinggal sehari lagi, rakyat Kelantan diajak imarah Malaysia #QuranHour 2026 dengan suasana 'bekwoh'

Iklan
Adnan mengajak semua untuk mengimarahkan MQH di Badang, Pantai Cahaya Bulan. 

KOTA BHARU - Tinggal sehari sahaja lagi sebelum Malaysia #QuranHour (MQH) 2026, rakyat Kelantan diajak bersama keluarga serta komuniti untuk berintraksi Al-Quran dalam suasana ‘bekwoh rakyat’.

Bagi peringkat Kelantan, MQH 2026 akan berlangsung di Masjid Al-Munir, Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini dan disasarkan menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta.

Iklan
Iklan

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, masyarakat perlu memanfaatkan peluang menyertai MQH 2026 yang bertemakan ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’.

Menurutnya, program itu menjadi wadah mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran sebagai panduan membina diri, keluarga dan komuniti mencapai bahagia dunia dan kejayaan akhirat

Iklan

“Pakat mari belaka dan berusaha hidupkan budaya al-Quran, bukan hanya untuk sehari tetapi sepanjang hidup berpandukan Quran serta sunnah.

“Kita sama-sama baca, faham dan hayati mesej Allah,” katanya kepada Sinar Harian sempena Siri Jelajah Kempen MQH 2026 di sini pada Jumaat.

Iklan

Adnan berkata, Surah al-Muzzammil, al-Balad dan al-Baqarah yang dipilih tahun ini membawa mesej pembinaan kekuatan diri, kepedulian terhadap golongan memerlukan serta tanggungjawab membentuk masyarakat saling mengambil berat.

Katanya, mesej itu selari dengan tema MQH 2026 kerana kesejahteraan perlu bermula daripada pembinaan jiwa sebelum diterjemahkan melalui hubungan baik dan kepedulian sesama manusia.

Menurutnya, MQH turut digerakkan melalui masjid, surau, institusi pendidikan, organisasi dan komuniti melalui hotspot Rumah Ngaji di Bukit Marak, Jeli, Bachok dan Pasir Mas.

Katanya, program di Masjid Al-Munir, akan bermula jam 8.30 pagi dengan pengisian al-Quran, tadabbur dan Forum Perdana Khas ‘Bingkas Bersama al-Quran: Dari Pembangunan Diri kepada Masyarakat Penyayang’ sebelum jamuan tengah hari.

“Menariknya, kami sediakan gulai kawah seekor lembu yang disumbangkan ahli PRNNK.

“Kami mahu masyarakat mengimarahkan masjid dan menikmati suasana kebersamaan,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf.

“Sesiapa yang tidak dapat bersama di Masjid Al-Munir boleh mengikuti siaran langsung menerusi facebook PRNNK.

“MQH juga akan disiarkan secara langsung dari lokasi perdana di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur pada Ahad dan boleh ditonton menerusi saluran TV Al-Hijrah,” katanya.