KUALA LUMPUR -"Jangan gunakan taktik seperti ini untuk menjatuhkan seorang ahli politik, saya pun ada keluarga dan saya langsung tidak berasa malu.”
Demikian kenyataan tegas bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkaitan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Saravanan berkata, beliau terkejut dengan pertuduhan berkenaan dan menganggapnya sebagai tuduhan yang tidak berasas terhadap dirinya.
"Apa yang penting, saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana individu yang disebut di mahkamah tadi, saya tidak mengenali mereka kecuali Syed Amirul, itu pun secara peribadi. Saya tidak mempunyai hubungan dengan Syed Amirul," katanya dalam sidang akhbar selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Datuk Seri M Saravanan, 58, yang memakai kot berwarna hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Beliau dalam pada itu mendakwa pertuduhan berkenaan bukan cara untuk menjatuhkannya sebagai ahli politik, sambil mencabar pihak lawan menghantar calon terbaik untuk bertanding dengannya di Tapah.
"Ini bukan cara kalau nak jatuhkan saya, hantarlah calon yang terbaik ke Tapah, bertanding dengan saya, jangan gunakan taktik macam ini untuk jatuhkan seorang ahli politik," katanya.
Menurut Saravanan, beliau bersedia menghadapi proses perbicaraan dan berharap kes berkenaan dapat disegerakan bagi mengelakkan ia berlarutan.
"Saya bersedia untuk menghadapi mahkamah dan saya bersedia untuk bekerjasama, cepatkan sahaja kes ini.
"Saksi pun tidak ramai, sedikit sahaja.Sebulan pun boleh selesai jika diperlukan,” katanya.
Beliau turut meminta supaya kelewatan prosiding tidak digunakan sehingga menjejaskan reputasinya.
"Jangan gunakan taktik melengah-lengahkan prosiding untuk memburukkan nama saya, kalau betul-betul ikhlas mahu mendakwa saya, cepatkan kes ini," katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, beliau sudah membincangkan perkara berkenaan dengan Perdana Menteri dan menafikan pernah meminta bantuan untuk melindunginya daripada pertuduhan tersebut.
"Saya bukan meminta Perdana Menteri untuk melindungi saya, saya meminta Perdana Menteri membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terlibat.
"Saya tidak meminta beliau membantu saya untuk menyelesaikan perkara ini, saya meminta supaya siasatan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, fakta berkaitan kes berkenaan akan dibentangkan melalui proses perbicaraan dan meminta semua pihak menunggu perjalanan kes di mahkamah.
"Saya langsung tidak berasa malu dengan tuduhan ini kerana apabila fakta keluar nanti, anda akan berasa malu.
"Rakyat akan tahu bagaimana saya dituduh berdasarkan maklumat yang palsu, bersabar sahaja, tidak lama lagi fakta akan keluar,” katanya.
Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, beliau mempunyai tanggungjawab terhadap ahli parti dan berharap proses perbicaraan dapat disegerakan.
"Saya seorang wakil rakyat dan Timbalan Presiden MIC, saya mempunyai tanggungjawab terhadap ahli-ahli parti saya.
"Saya cuma meminta supaya proses ini dipercepatkan, itu sahaja permintaan saya," katanya.