KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak mempunyai penglibatan dengan penama-penama yang dinyatakan dalam tiga pertuduhan rasuah dihadapinya.
Peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, keterangan berkenaan akan dikemukakan ketika prosiding perbicaraan bagi membuktikan pendirian anak guamnya terhadap pertuduhan tersebut.
"Kami akan mengemukakan keterangan untuk membuktikan bahawa Datuk Seri tidak mempunyai penglibatan dengan penama-penama yang dinyatakan dalam pertuduhan tersebut dan kami kemukakan ketika perbicaraan," katanya ketika sidang akhbar selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Terdahulu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Saravanan yang memakai kot hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengulas mengenai seorang individu bernama Syed Amirul yang dinamakan dalam pertuduhan, Geethan berkata, pihaknya difahamkan individu berkenaan telah meninggal dunia.
Menurutnya, pihak pembelaan juga telah menerima dua akuan bersumpah (SD) yang didakwa dibuat oleh Syed Amirul dan dokumen berkenaan telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Menurut SD tersebut, Syed Amirul yang merupakan saksi utama SPRM menyatakan bahawa beliau telah dipaksa untuk mengaitkan Datuk Seri.
"Beliau menyatakan bahawa sebenarnya tiada kaitan dengan Datuk Seri, tetapi beliau terpaksa mengaitkan Datuk Seri, beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah berhubung dengan Datuk Seri," katanya.
Geethan berkata, perkara berkenaan akan menjadi antara perkara yang akan dibawa pihak pembelaan dalam prosiding perbicaraan.