57 rakyat Malaysia gagal dihubungi di Nepal - Kementerian Luar

Iklan
Bencana banjir yang melanda pagi Rabu itu telah meragut lebih 400 nyawa manakala lebih 800 lagi termasuk ratusan pelancong asing belum ditemui. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Seramai 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat dahsyat di daerah Rasuwa, Nepal.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan angka terkini itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan setakat 11 malam, 27 Ogos.

Iklan
Iklan

Kementerian itu memaklumkan misi diplomatiknya di kawasan berkenaan sedang membuat semakan atau pengesahan terhadap laporan tersebut dengan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa dan agensi Nepal berkaitan.

"Pihak berkuasa tempatan telah melaporkan penyelamatan 31 warga asing setakat ini. Pada peringkat ini, kementerian belum menerima pengesahan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan mereka yang diselamatkan.

Iklan

"Perwakilan diplomatik Malaysia di kawasan tersebut juga sedang bekerjasama dengan Pasukan Tindakan Kecemasan Kementerian Luar Nepal dan Lembaga Pelancongan Nepal untuk menyemak silang maklumat mengenai rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menggesa ahli keluarga rakyat Malaysia yang sedang mengembara di kawasan itu dan belum mendaftarkan keberadaan mereka supaya memberikan butiran peribadi kepada kementerian, susulan maklumat diterima bahawa terdapat kemungkinan sesetengah rakyat Malaysia telah memasuki kawasan terjejas melalui negara jiran, China dan India.

Iklan

Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kini beroperasi 24 jam sehingga diberitahu kelak bagi menyelaraskan maklumat serta memberikan bantuan terus kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan keluarga mereka.

Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon untuk dihubungi - digesa menghubungi Kementerian di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Mereka juga boleh memberikan butiran tersebut secara terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my, dengan satu salinan dihantar kepada Bilik Operasi kementerian.

Kementerian menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau sedang mengembara di Nepal, khususnya mereka yang berada di dalam atau berhampiran kawasan terjejas, agar sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia juga digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat hubungan mereka secara berkala menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

Bencana banjir yang melanda pada pagi Rabu itu telah meragut lebih 400 nyawa manakala lebih 800 lagi termasuk ratusan pelancong asing belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di tengah-tengah kemusnahan teruk jalan raya dan gangguan sistem komunikasi. - Bernama