TOTTENHAM Hotspur terus berbelanja sakan apabila mendapatkan penyerang Mesir, Omar Marmoush secara pinjaman daripada Manchester City dengan perjanjian yang bakal menjadi perpindahan kekal musim depan.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Spurs untuk tempoh semusim, namun media Britain melaporkan kelab London itu perlu membayar sekitar 60 juta pound (RM326.5 juta) bagi mengikatnya secara tetap.
Marmoush menjadi pemain kedua City yang berpindah ke Spurs dalam tempoh beberapa hari selepas pemain sayap Brazil, Savio menyertai kelab itu dengan yuran awal 75 juta pound (RM408.2 juta) dan terus mencetak gol pada penampilan sulung.
Perpindahan Savio menyaksikan perbelanjaan Tottenham pada jendela musim panas ini melepasi £300 juta (RM1.63 bilion), selepas turut membawa masuk beberapa pemain ternama seperti Sandro Tonali, Mateus Fernandes dan Jan Paul van Hecke.
Ketua jurulatih Tottenham, Roberto De Zerbi berkata, Marmoush menepati ciri pemain yang diperlukan kelab itu untuk menghadapi cabaran musim baharu.
"Omar ialah pemain yang tepat seperti kami mahukan di kelab ini - bercita-cita tinggi, dahagakan kejayaan dan bertekad untuk membawa perubahan.
"Dia membawa kepantasan, kecerdikan serta ancaman sebenar di hadapan gol," katanya.
Marmoush sebelum ini menyertai Manchester City daripada Eintracht Frankfurt pada Januari 2025, namun peluang beraksi di posisi penyerang utama agak terhad berikutan kehadiran Erling Haaland.
Sepanjang bersama City, penyerang itu merekodkan 16 gol dalam 62 penampilan, manakala di peringkat antarabangsa dia sudah mengumpul 55 kaps bersama Mesir dengan 11 jaringan.
Marmoush turut beraksi dalam semua lima perlawanan ketika membantu Mesir mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia musim panas ini.
"Sangat menakjubkan berada di sini. Tottenham Hotspur ialah antara kelab terbesar di England, jika bukan di dunia, dan projek yang ditawarkan sangat menarik perhatian saya," katanya.