PKPS santuni 40 pelajar tahfiz, tambah baik kemudahan

Iklan
Pongot (kiri) menyerahkan cenderahati kepada pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz Al-Habbah.

BATU CAVES - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memperkukuh tanggungjawab sosial menerusi pelbagai inisiatif termasuk wakalah zakat bagi membantu golongan memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, sebagai sebuah organisasi yang sentiasa dekat dengan masyarakat, tanggungjawab sosial perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan bersifat sementara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PKPS sentiasa terbuka untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan menerusi penglibatan Jawatankuasa Wakalah Agihan Zakat PKPS (JWAZ), Jawatankuasa Wakalah Agihan Zakat PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd (PEMSB), Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKPS serta bahagian dan anak syarikatnya.

“Bagi PKPS, bantuan yang diberikan mungkin kelihatan sebagai sebuah sumbangan kemudahan, namun yang lebih penting, kami berharap ia membawa mesej bahawa anak-anak di Sekolah Tahfiz Al-Habbah ini tidak bersendirian.

Iklan

“Mereka mempunyai masyarakat dan organisasi yang prihatin serta bersedia untuk bersama-sama menyokong perjalanan dan perkembangan mereka.

“Saya berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit sebanyak keselesaan kepada semua pelajar serta memberi manfaat kepada pihak sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Pegawai Operasi Selagro Solutions Sdn Bhd, Pongot Sajab sempena Program Maulid Nabi 1448H/2026M di Sekolah Tahfiz Al-Habbah di sini pada Rabu.

Pongot (tiga dari kanan) menyerahkan bakul makanan kepada Pengerusi Sekolah Tahfiz Al Habbah, Abdul Khalid Sulaiman.

Program bertemakan ‘Rasulullah Idolaku: Satu Teladan, Sejuta Inspirasi’ itu menyantuni kira-kira 40 pelajar lelaki terdiri daripada anak yatim, golongan asnaf serta keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat.

Program anjuran PKPS menerusi JWAZ itu dilaksanakan dengan kerjasama Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKPS, Lembaga Zakat Selangor serta Jawatankuasa Wakalah Agihan Zakat PEMSB.

Pada program itu, JWAZ menyumbangkan 40 unit loker pakaian untuk kegunaan pelajar, manakala Jawatankuasa Wakalah Agihan Zakat PEMSB menyampaikan bakul makanan EHSAN kepada pihak sekolah dan pelajar.

Sumbangan makanan itu merangkumi beras, ayam, daging beku, telur, minyak masak, tepung, bihun, makanan dalam tin serta minuman yang diserahkan secara simbolik kepada Pengerusi Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Abdul Khalid Sulaiman.

Mohamad Khairil berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian usaha PKPS menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif kepada pelajar sekolah tahfiz berkenaan.

Menurutnya, warga PKPS turut bergotong-royong bersama pelajar pada 19 Ogos lalu bagi membersihkan dan menambah baik ruang loker serta beberapa kemudahan sekolah.

Aktiviti itu melibatkan pembersihan dan penambahbaikan bilik loker, bilik air serta koridor, pemasangan loker baharu, pengecatan semula selain penambahbaikan sistem elektrik dan pencahayaan.

“PEMSB juga kini dalam proses memasang tingkap di bilik loker bagi mengoptimumkan pengudaraan dan meningkatkan keselesaan anak-anak pelajar di Sekolah Tahfiz Al-Habbah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada warga kerja PKPS dan semua pihak yang meluangkan masa serta tenaga untuk bersama-sama membantu menyediakan ruang lebih selesa dan kondusif untuk pelajar di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar untuk meraikan Maulidur Rasul, sebaliknya menjadi wadah menghayati, memahami dan menghidupkan akhlak serta keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Tetamu bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz Al-Habbah.

Menurutnya, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang wajar dijadikan teladan terutama dalam aspek kepedulian terhadap masyarakat khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.

“Nilai-nilai inilah yang perlu kita jadikan panduan, bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, tetapi juga dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Program seperti ini juga menjadi platform untuk kita bersama-sama membentuk generasi yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan teladan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berharap program itu bukan sekadar menjadi acara dalam kalendar PKPS, sebaliknya meninggalkan kesan dan mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Pada masa sama, hubungan antara PKPS, Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Lembaga Zakat Selangor dan rakan strategik diharap terus diperkukuhkan pada masa akan datang.

Program berkenaan turut diisi dengan bacaan al-Quran, selawat dan qasidah oleh pelajar Sekolah Tahfiz Al-Habbah serta ucapan alu-aluan Mudir Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Ustaz Khairul Anuar Yahya.

Turut diadakan ceramah bertajuk ‘Rasulullah Idolaku: Satu Teladan, Sejuta Inspirasi’ disampaikan pendakwah, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim.

Dalam ceramahnya, PU Amin antara lain menekankan kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui amalan termasuk memperbanyakkan selawat, mengamalkan sunnah dan mengikuti ajaran Baginda dalam kehidupan seharian.

Beliau turut mengajak umat Islam menjadikan sifat amanah, jujur, penyayang dan pemaaf Rasulullah SAW sebagai teladan selain mendalami sirah Baginda bagi memahami perjuangan serta pengorbanannya.