TANJONG KARANG - Dua kereta dan lima motosikal terpakai musnah dalam kebakaran sebuah garaj kenderaan di Jalan Bernam Tanjong Karang di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.17 malam
Menurutnya, seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang serta bantuan BBP Kuala Selangor bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh tiga kilometer
"Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 8.22 malam dan mendapati sebuah garaj kenderaan kelas C terbakar 100 peratus.
"Kebakaran turut melibatkan dua buah kereta dan lima motosikal terpakai," katanya.
Beliau berkata, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena terbakar 100 peratus, manakala kereta jenis Mazda terbakar kira-kira lima peratus.
"Turut musnah dua motosikal Yamaha SS2, dua motosikal jenis skuter dan sebuah motosikal yang masing-masing terbakar 100 peratus.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.30 malam dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 10 malam," katanya.