Langit kembali 'berasap'

Iklan
Menangani jerebu memerlukan perubahan daripada pendekatan bermusim kepada usaha pencegahan yang berterusan. Foto fail Bernama

SETIAP kali cuaca kering melanda, ancaman jerebu kembali menghantui penduduk ASEAN dengan beberapa kawasan berdepan risiko peningkatan titik panas dan pencemaran udara.

Menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), keadaan titik panas dan jerebu di beberapa kawasan di selatan ASEAN mungkin bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang berikutan cuaca kering yang berpanjangan. Situasi itu sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan.

Iklan
Iklan

Amaran berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti harian serta kelancaran pelbagai sektor sekiranya berlarutan.

Jerebu lazimnya dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut serta pembakaran terbuka. Ketika musim kering, kekurangan hujan menyebabkan asap lebih sukar disingkirkan daripada atmosfera. Keadaan menjadi lebih kompleks apabila asap bergerak mengikut arah angin dan merentasi sempadan negara.

Iklan

Di Malaysia, pengalaman berdepan jerebu sebelum ini boleh dirasai dalam kehidupan seharian. Aktiviti luar seperti sukan, riadah dan program sekolah mungkin perlu dikurangkan atau ditangguhkan.

Lebih membimbangkan kesannya terhadap kesihatan. Pendedahan kepada udara tercemar boleh menyebabkan batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas. Kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu diberikan perhatian lebih ketika keadaan berjerebu.

Iklan

Dalam situasi sedemikian, rakyat perlu mendapatkan maklumat mengenai tahap kualiti udara dan mematuhi nasihat pihak berkuasa. Aktiviti luar wajar dikurangkan apabila keadaan udara merosot bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran.

Namun, langkah menangani jerebu tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan ketika krisis berlaku. Pencegahan perlu bermula lebih awal melalui penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta pemantauan kawasan yang berisiko berlaku kebakaran.

Hakikatnya, jerebu tidak sepatutnya hanya menjadi isu yang dibincangkan apabila langit mula dipenuhi asap dan bacaan kualiti udara meningkat. Saban tahun, situasi yang hampir sama berulang.

Menangani jerebu memerlukan perubahan daripada pendekatan bermusim kepada usaha pencegahan yang berterusan. Kesihatan rakyat dan kualiti alam sekitar tidak seharusnya terus dikompromi akibat masalah yang gagal ditangani secara menyeluruh.